Pada 17 Julai 2016, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor UMT telah meluangkan masa berjumpa staf Canselori dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Senat UMT. Majlis yang diadakan bersempena dengan sambutan Aidil Fitri Canselori turut dihadiri oleh Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pengarah-pengarah Pusat dan Ketua-ketua Bahagian di Canselori.
Dato’ Nor Aieni dalam ucapannya menggesa staf Canselori meningkatkan budaya kerja yang cemerlang, inovatif dan kreatif (think out of the box) dalam sistem penyampaian perkhidmatan masing-masing. Beliau juga meminta staf membudayakan kerja secara berpasukan (teamwork) dan menjaga kerahsiaan dokumen rasmi Universiti. Selain itu, staf diminta untuk mengelakkan budaya pembaziran serta mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada berteraskan konsep “Do More With Less”.
Bersempena ketibaan Syawal yang dirayakan, beliau turut menggesa staf Canselori meneruskan tarbiyah Ramadan seperti solat fardhu berjemaah, membaca Al-Quran, bersedekah dan membantu insan-insan yang memerlukan. Aidil Fitri pula hendaklah disambut dengan penuh kesyukuran, keinsafan dan kegembiraan dalam suasana yang sederhana.
Dalam majlis tersebut juga, beliau telah menyampaikan Anugerah Staf Terbaik Bulanan kepada staf Canselori yang telah menunjukkan prestasi kerja dan sahsiah yang cemerlang. Antara penerima anugerah tersebut adalah Rabil Sitta binti Abdul Rahman dan Roshanida binti Zakariah (September 2015); Zuraifah binti Mamat dan Mohd Safiuddin bin Sulong (Disember 2015); Norma binti Malik (Mac 2016); dan Wan Ani Lawati binti Wan Ngah (Jun 2016).