UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

MAJLIS PELUNCURAN KEMBARA KPT@TERENGGANU YANG DIADAKAN BERSEMPENA PENYERAHAN PROJEK KAMPUNG ANGKAT MADANI UMT

19 Mei 2026 – Program Kembara Pendidikan Tinggi@Terengganu dan Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI UMT di Kampung Menerong, Hulu Terengganu telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi.

Program Kembara Pendidikan Tinggi @ Terengganu adalah satu usaha dan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi bertujuan bagi membawa perkhidmatan dan kepakaran yang ada di KPT khususnya di Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti bagi menyantuni dan membantu komuniti di Terengganu. Pemilihan Kampung Menerong sebagai Kampung Angkat MADANI UMT pula mencerminkan komitmen berterusan UMT terhadap pembangunan komuniti yang komprehensif dan mampan. Usaha ini diperkukuhkan lagi dengan pemilihan beberapa sekolah di kawasan sekitarnya sebagai Sekolah Angkat STEM UMT. Di samping itu, projek bimbingan UMT seperti penanaman cendawan dan pertanian kelulut telah memberi impak langsung kepada peningkatan sosioekonomi penduduk tempatan.