UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

KUNJUNGAN HORMAT UMT KE KEDUTAAN BESAR REPUBLIK RAKYAT CHINA PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK UMT- CHINA

7 Julai 2026 – Delegasi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengadakan kunjungan hormat kepada H.E. Ambassador Ouyang Yujing, Duta Besar Republik Rakyat China di Malaysia. Turut bersama ialah Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzil bin Mohd Akhir, Pro Naib Canselor (Strategi, Prestasi dan Korporat); Prof. Ts. Dr. Kesaven A/L Bhubalan, Pengarah Pusat Antarabangsa UMT, Prof. Madya Dr. Hazman bin Samsudin, Pengarah Blue Economy Advancement Centre of UMT (BEACON), Dr. Khaira binti Ismail, Timbalan Pengarah BEACON serta Dr. Abdul Razak bin Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif WBEF Sdn. Bhd.

Pertemuan ini membuka ruang kepada perbincangan yang amat bermakna, khususnya berkaitan penganjuran Blue Economy Forum, potensi kerjasama bersama industri-industri di China, serta penerokaan kolaborasi baharu dengan institusi pendidikan dan penyelidikan negara tersebut. Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh agenda ekonomi biru, penyelidikan, inovasi serta pembangunan bakat yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

UMT juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kedutaan Besar Republik Rakyat China atas sokongan berterusan melalui Chinese Ambassador Scholarship. Sumbangan biasiswa ini akan diteruskan lagi bagi tahun 2026 dan merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna kepada UMT dalam memperkasakan akses pendidikan dan memperluas peluang kepada para pelajar. Semoga hubungan erat yang terjalin ini terus diperkukuhkan demi melahirkan lebih banyak kerjasama berimpak tinggi yang menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan tinggi, penyelidikan dan pembangunan ekonomi biru di peringkat antarabangsa.