UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Kesan Daripada Makanan Dan Minuman Yang Haram

Di zaman mutakhir ini sebahagian daripada manusia telah mengabaikan keperihatinan mereka terhadap status makanan dan minuman yang diambil, sama ada ia betul-betul halal atau sebaliknya. Malah yang mereka pentingkan ialah kelazatannya, tanpa mempedulikan tentang kesan-kesan yang akan dihadapinya.

Makanan, minuman dan pakaian merupakan daruriyat iaitu keperluan-keperluan yang mesti dimiliki oleh setiap insan bagi melengkapkan hidup di dunia ini. Meskipun demikian, Islam tetap mengingatkan umatnya supaya sentiasa berwaspada dan memastikan makanan dan minuman yang diambil hanya yang halal dan baik.

Islam sekali-kali tidak membenarkan umatnya mengambil makanan atau minuman yang haram, kecuali dalam keadaan darurat (terpaksa) yang boleh mengancam keselamatan nyawa. Sebenarnya, Allah SWT telah memerintahkan sekalian manusia, supaya menjaga kualiti makanan dan minuman, bukan sahaja yang halal, tetapi juga yang mengandungi khasiat, yang boleh mendatangkan kesihatan kepada manusia. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud, “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada dibumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

Yang dimaksudkan dengan makanan dan minuman yang halal dalam Islam, ialah makanan dan minuman yang zatnya halal dan diperolehi pula melalui sumber pendapatan yang halal. Sementara yang dimaksudkan dengan makanan dan minuman yang haram pula terbahagi kepada dua kategori –

Pertama : makanan dan minuman itu sendiri diharamkan oleh syarak, seperti bangkai, darah yang mengalir, daging khinzir, binatang yang disembelih tidak mengikut hukum syarak dan sebagainya. Minuman pula seperti arak dan semua jenis minuman yang memabukkan. Semua ini telah ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 3 yang bermaksud, “Diharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah yang mengalir, daging babi, binatang yang disembelih kerana yang selain dari Allah, yang mati tercekik, yang mati dipukul, yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, yang mati ditanduk, yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih sebelum habis nyawanya, dan yang disembelih atas nama berhala, dan diharamkan juga kamu menilik nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik..”

Dan firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 90 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Kedua : makanan dan minuman itu sendiri yang halal dan mengandungi khasiat yang baik untuk kesihatan tetapi diperoleh melalui sumber pendapatan yang haram, seperti dibeli dengan wang hasil daripada penipuan, perjudian, penyelewengan, rasuah dan sebagainya daripada perbuatan-perbuatan yang diharamkan oleh syarak.

Termasuk dalam sumber pendapatan yang haram juga ialah gaji dan elaun yang diterima tanpa menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sempurna. Perkara seperti ini juga telah ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud, “Janganlah kamu makan atau mengambil harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah dan janganlah kamu menghulurkan harta (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa pada hal kamu mengetahui salahnya.”

Terdapat banyak kesan-kesan buruk yang disebut oleh para ulama akibat daripada pengambilan makanan dan minuman yang haram, antaranya ialah –

Pertama : hilang keberkatan dalam hidup. Kesan daripada pengambilan makanan dan minuman yang haram akan menghilangkan keberkatan dalam hidup dan juga harta benda, sekalipun perolehannya nampak baik, namun tidak kekal lama. Hidup pula tidak bahagia dan jiwa sentiasa gelisah tidak tenang, malah hidup penuh dengan berbagai masalah.

Kedua : doanya tidak diterima oleh Allah SWT. Kesan daripada pengambilan makana dan minuman yang haram, doanya tidak akan diterima oleh Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Seseorang lelaki melakukan perjalanan yang jauh, rambutnya kusut-masai, mukanya berdebu, menadah kedua belah tangannya ke langit dan berdoa : Ya Rabbi! Ya Rabbi! Pada hal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuapkan dengan yang haram, maka bagaimanakah akan diterima doanya itu?” (HR Muslim)

Ibnu Abbas berkata bahawa Saad bin Abi Waqas berkata kepada Nabi Muhammad SAW : “Wahai Rasulullah! Doakanlah untukku supaya menjadi orang yang diterima doa-doanya oleh Allah.” Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Wahai Saad, perelokkanlah makanan kamu nescaya akan diterima doa kamu, demi Tuhan yang diri Muhammad berada di tangan-Nya, bahawa seorang hamba yang memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam rongganya, nescaya tidak akan diterima amalannya selama 40 hari.” (HR At-Tabarani)

Ketiga : dagingnya akan dibakar dalam neraka. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tiap-tiap daging yang tumbuh dari benda yang haram, maka neraka lebih utama untuknya.” (HR Tirmizi)

Keempat : hati menjadi keras. Imam Ahmad ditanya bagaimana cara melembutkan hati. Beliau menjawab, dengan memakan makanan yang halal. Perlu diingatkan bahawa hati merupakan anggota dalaman yang sangat penting dalam tubuh manusia, baik atau rosaknya anggota zahir adalah berpunca dari hati, justeru Rasulullah SAW sangat memberi penekanan terhadap hati, sebagaimana sabdanya, “Ketahuilah bahawa dalam tubuh badan terdapat seketul daging yang apabila baik, nescaya baiklah seluruh tubuh badan dan apabila ia rosak, nescaya rosaklah seluruh tubuh badan, ketahuilah, itulah hati.” (HR Bukhari dan Muslim)

Kesimpulannya, pastikanlah makanan, minuman dan pakaian kita, benar-benar halal dan diperolehi melalui sumber yang halal. Mudah-mudahan hidup kita diberkati Allah, keluarga menjadi bahagia, anak-anak berakhlak mulia dan jiwa sentiasa tenang, serta dapat melaksanakan ibadah kepada Allah dengan penuh khusyuk dan ikhlas.

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 12 Januari 2018]