Kelab Canselori UMT Teruskan Tradisi Masak Bubur Asyura
16 Ogos 2023, KUALA NERUS – Kelab Canselori UMT meneruskan tradisi memasak bubur Asyura yang mungkin semakin dilupakan dalam kalangan orang muda. Pada hari ini, sebanyak 100 bekas bubur asyura atau sugha telah disediakan oleh ahli-ahli Kelab Canselori UMT sempena sambutan bulan Muharam 1445H. Program ini telah dilaksanakan secara bergotong-royong di Dataran Canselori UMT bermula jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Menurut Encik Muhammad Hafizuddin Zakaria, Pengerusi Kelab Canselori UMT, bubur asyura yang dimasak pada hari ini diagihkan kepada semua ahli Kelab Canselori UMT dan turut diedarkan kepada jabatan-jabatan lain di UMT. Menurut beliau lagi, walaupun program ini dilakukan secara sederhana, penglibatan semua staf Canselori UMT dalam program ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim. Malah kemeriahan dan keharmonian sesama individu dapat dilihat semasa mereka menyediakan bahan keperluan dan mengacau bubur asyura secara gotong-royong hinggalah kepada proses agihannya.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Prof. ChM. Dr. Marinah Mohd Ariffin turut hadir menyempurnakan acara pengagihan bubur asyura kepada semua staf Canselori UMT.