CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT unjurkan pengambilan 454 pelajar antarabangsa

KUALA NERUS, 5 Julai – UMT mensasarkan unjuran pengambilan seramai 454 pelajar antarabangsa pada tahun 2018. Ini sejajar dengan perancanga strategik bagi meningkatkan keterlihatan UMT di peringkat global sebagai sebuah universiti berfokus dalam bidang marin.

Menurut Pengarah Pusat Antarabangsa UMT, Dr. Ahmad Faisal Mohamad Ayob, pada masa ini seramai 171 orang pelajar antarabangsa yang telah mendaftar pengajian mereka di UMT iaitu 13 orang di peringkat prasiswazah dan 158 orang pula mengikuti program pengajian di peringkat pascasiswazah. Majoriti pelajar adalah dari negara Jordan dan Bangladesh.

“Dalam pelan strategik universiti, UMT meletakkan sasaran pengambilan seramai 454 pelajar antarabangsa pada tahun ini. Sasaran ini agak tinggi berbanding dengan enrolmen pelajar pada tahun 2017 iaitu seramai 207 sahaja. Namun kami mengatur strategik untuk memperbanyakkan program-program mobility inbound dan memperkasakan aktiviti bersama-sama agen recruitment melalui program-program bersama Education Malaysia Global Services (EMGS) bagi menarik minat para pelajar dari luar negara untuk menyertai UMT”, katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas bersama-sama dengan 50 orang pelajar dan staf antarabangsa yang diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan oleh Pusat Antarabangsa UMT bertempat Sanggar Siswa, Kompleks Siswa UMT pada hari ini.