CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Wakaf Ilmu instrumen kewangan baharu UMT

KUALA TERENGGANU, 28 Mac – UMT telah mengorak langkah untuk meningkatkan lagi fungsi keilmuan dengan menubuhkan dana amanah Wakaf Ilmu UMT. Dana ini berfungsi sebagai instrumen baharu dalam menjana sumber kewangan universiti untuk dimanfaatkan kepada warga UMT menerusi konsep wakaf.

Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, walaupun sistem wakaf ilmu masih baru di Malaysia, namun sebenarnya banyak universiti terulung dunia menjadikan sistem wakaf sebagai sumber utama dalam pembangunan institusi pendidikan seperti di Universiti al-Azhar, Mesir.

“Usaha murni kita telah mendapat perkenankan daripada DYMM Sultan Terengganu bagi melaksanakan Wakaf Ilmu UMT berkuatkuasa bermula pada 7 Mac 2017. Setakat 28 Februari 2018, jumlah dana wakaf ilmu UMT yang terkumpul adalah sekitar RM 1.055 juta. Alhamdulillah, agihan manfaat yang pertama ini akan disalurkan melalui Biasiswa Wakaf Ilmu UMT kepada pelajar UMT yang layak mengikut syarat-syarat yang telah dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Wakaf UMT-MAIDAM,” kata beliau dalam Majlis Menantangani Memorandum Persefahaman (MoA) antara UMT dengan Majlis Agama Islam & Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di Hotel Grand Puteri, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Haji Wan Ismail Sahaimi Haji W. Omar, Ahli Lembaga Pengarah UMT, Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman dan Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud UMT, Dr. Firdaus Khairi Abdul Kadir.

“Beberapa projek penjanaan hasil wakaf telah dirangka dan akan dilaksanakan bagi melipatgandakan lagi manfaat wakaf yang diperoleh agar lebih ramai golongan sasaran yang dapat merasai manfaat wakaf ini. Antara benefisiari mauquf ‘alaihi yang dirangka selain dari biasiswa ialah Geran Penyelidikan Wakaf Ilmu UMT, pembelian aset alih seperti peralatan makmal berteknologi tinggi, wakaf perubatan untuk kebajikan warga, pembangunan modal insan, dan banyak lagi manfaat lain yang dirasakan sesuai dari masa ke semasa,” katanya lagi.