UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Solat Jumaat Mengukuhkan Perpaduan Umat

Hari Jumaat merupakan hari perayaan mingguan umat Islam. Sebelum kedatangan Islam, hari ini dikenali dalam masyarakat arab sebagai Yaimul Arubah. Hari ini merupakan anugerah yang dihadiahkan oleh Allah kepada kita, dengan pelbagai kelebihan dan ganjaran pahala. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abu Hurairah r.a. bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Kita adalah umat yang terakhir namun terdahulu dihisab dan memasuki syurga pada hari akhirat, walaupun mereka diberi kitab sebelum kita. Hari Jumaat ini telah ditentukan Allah menjadi hari perayaan mereka, namun mereka berselisih dan mengingkarinya. Maka Allah menghadiahkan kita untuk menerima hari Jumaat ini. Maka manusia yang lain mengikut kita, orang yahudi pada esoknya iaitu hari Sabtu, dan orang nasrani lusanya iaitu hari Ahad.”

Alangkah beruntungnya kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW mendapat kelebihan hari yang dinamakan Jumaat kerana berhimpunnya manusia untuk menunaikan solat dan terhimpun padanya pelbagai keistimewaan.

Syiar terbesar pada hari Jumaat ialah solat Jumaat. Solat ini adalah fardu ain ke atas setiap mukalaf lelaki yang bermukim dan ketiadaan uzur. Kefarduan ini tidak wajar dipandang remeh oleh kita. Hatta mereka yang keluar bermusafir selepas masuk waktu subuh pada hari Jumaat, tetap wajib menunaikan solat Jumaat dalam perjalanan, kecuali dalam situasi yang tidak dapat dielakkan seperti penerbangan kapal terbang. Oleh itu, solat Jumaat hanya gugur kepada mereka yang telah bermusafir sebelum subuh hari Jumaat atau sebelumnya. Ini adalah kerana Allah menyandarkan kewajipan solat dengan siang hari Jumaat, dan siang bermula dengan masuknya subuh. Firman Allah SWT dalam surah Al-Jumaah ayat 9 yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu ke masjid untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli, yang demikian baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”

Lebih parah lagi, jika yang meninggalkan solat Jumaat dengan dakwaan tidak cukup bilangan jemaah yang kamil 40 orang, dan kebanyakkan ahli jemaah adalah tidak sempurna solatnya. Tanpa disedari, mereka yang membuat dakwaan ini sebenarnya telah melakukan fitnah dan bersangka buruk kepada orang lain. Dalam masa yang sama, hati mereka dihinggapi  penyakit takbur iaitu membesarkan diri ke atas orang lain. Mereka mencari pelbagai alasan untuk meninggalkan solat Jumaat tanpa ada keuzuran yang dibenarkan syarak.

Antara hikmah solat Jumaat ialah menghimpunkan para muslimin dalam satu masjid untuk mendengar ilmu, peringatan dan nasihat yang disampaikan melalui khatib. Untuk mencapai matlamat ini, syarak menuntut setiap muslim agar bersiap sedia dan datang awal ke masjid dengan badan dan pakaian yang bersih dan wangi. Waktu inilah kaum muslimin akan berjumpa dan berhimpun bagi meneguhkan ikatan persaudaraan yang menjadi asas kejayaan umat Islam.

Amat malang jika solat fardu Jumaat yang menjadi asas kesatuan, dijadikan sebab kepada perpecahan dalam masyarakat. Kes dua Jumaat yang didirikan dalam satu kampung, merupakan barah yang boleh menyebabkan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat setempat. Mana tidaknya, perbuatan mendirikan Jumaat yang lain tanpa kebenaran pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) akan menyebabkan terganggunya Jumaat di masjid yang asal dan diiktiraf.

Dalam setengah keadaan, solat Jumaat tidak dapat didirikan kerana bilangan jemaah kurang daripada 40 orang yang bermastautin. Hal ini berlaku kerana kejahilan terhadap hukum Allah dan sunnah Rasulullah SAW. Jika kita kembali kepada pandangan para ulama yang memahami Al-Quran dan Hadis dengan kefahaman yang betul, sudah pasti perkara sebegini tidak akan berlaku. Menurut mazhab kita As-Syafie, tidak boleh didirikan dua Jumaat pada satu tempat, kecuali jika hajat yang mendesak seperti masjid tidak mampu menampung bilangan jemaah. Ini juga adalah pendapat mazhab Maliki dan Hambali. Manakala mazhab Hanafi mensyaratkan keizinan pemerintah sebagai syarat sah mendirikan solat Jumaat. Maka ringkasnya, mendirikan solat Jumaat di masjid yang lain daripada masjid yang dibenarkan adalah perbuatan yang bercanggah dengan syarak dan membawa kepada tidak sahnya solat Jumaat yang dilakukan. Apatah lagi perbuatan ini menyebabkan perpecahan dan persengketaan yang tidak berkesudahan.

Menginsafi hakikat ini, mimbar Jumaat ingin mengingatkan kaum muslimin sekalian tentang perkara-perkara berikut :-

Pertama : solat Jumaat adalah fardu ain ke atas setiap lelaki yang mukalaf yang tiada keuzuran.

Kedua : orang yang bermusafir hanya gugur solat Jumaat jika dia keluar bermusafir sebelum waktu subuh hari Jumaat.

Ketiga : kita disunatkan meraikan segala adab-adab berkaitan Jumaat seperti mandi, memakai wangian, baju yang bersih dan pergi awal untuk menghadiri solat Jumaat, memberi tumpuan dan tidak bercakap-cakap semasa khutbah disampaikan.

Keempat : janganlah kita menjadi agen perpecahan dalam masyarakat dengan melakukan solat Jumaat di masjid yang tidak diberikan keizinan oleh pemerintah.

Kelima : ketepikan segala perbezaan politik, ideologi dan fahaman dalam kita menghadap Allah SWT untuk bersolat dan berhimpun bersama saudara seislam. Perpaduan dan kesatuan ini adalah asbab kepada kemenangan umat Islam, dan mendapat keredhaan Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Marilah kita berazam untuk mengikut segala perintah Allah dan RasulNya, serta menjaga ukhuwah islamiyah. Kejatuhan dan kehinaan sesuatu umat adalah disebabkan perpecahan dan pertelingkahan yang berlaku. Semoga Allah memelihara kita dan negara kita daripada bala bencana, kejatuhan dan kehinaan.

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 19 Januari 2018]