UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Siap-Siaga Menghadapi Bencana

Alhamdulillah, kini kita berada di musim tengkujuh. Pada kebiasaannya, apabila berada di penghujung tahun, negeri-negeri di Pantai Timur semenanjung akan dilanda banjir, ekoran dari hujan yang turun agak lebat dan dalam masa yang sama akan berlaku tiupan angin monsun timur laut. Fenomena ini, akan menyukarkan masyarakat nelayan yang menjadikan laut sebagai punca pendapatan mereka. Kesukaran ini bolehlah dianggap sebagai bencana yang perlu dihadapi dengan penuh kesabaran dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Istilah bencana juga dikenali sebagai musibah. Ungkapan musibah merupakan istilah arab yang telah digunakan di rantau melayu, semenjak zaman-berzaman. Di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat yang jelas menunjukkan tentang musibah dan berbagai tindakan sepatunya yang perlu diucapkan apabila terkena sebarang musibah. Perkara ini telah dinyatakan dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 156 yang bermaksud, “Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata : “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami akan kembali.”

Ayat tersebut memaparkan kepada kita bahawa semua ketetapan yang berlaku di alam ini merupakan ketentuan Allah ke atas makhlukNya. Apabila disebut tentang ketentuan Allah, pastinya ada hikmah di sebalik bencana atau musibah yang menimpa. Ayat inilah yang dinamakan sebagai ketentuan Allah, yang berlaku ke atas penghuni dunia seperti bencana, kemarau, ribut taufan, kebakaran hutan, tanah runtuh dan sebagainya. Semua itu, pastinya mempunyai rahmat dan hikmah di sebalik kejadian tersebut. Sebagai contohnya, apabila berlaku banjir besar di Kelantan pada tahun 2014  yang lalu, hikmah di sebalik kejadian tersebut ialah kemunculan ribuan dermawan dan sukarelawan yang datang membantu bagi meringankan beban mangsa banjir di sana.

Apabila sesuatu bencana berlaku, pada kebiasaannya manusia yang ditimpa bencana akan terasa keluh kesah dan serba tidak kena. Pada waktu itu, golongan yang nipis imannya akan menyalahkan takdir tanpa melihat hikmah yang berlaku di sebalik kejadian tersebut. Dalam pada itu, ada juga yang melihat dari sudut kenapakah musibah itu dikenakan kepada mereka? Dalam menghuraikan tentang persoalan ini, Allah telah menggariskan tentang beberapa bentuk bencana yang memerlukan hambaNya bersabar. Hal ini telah dinyatakan dalam surah Al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.”

Menerusi ayat tersebut, Allah menyatakan kepada kita bahawa segala bentuk bencana atau musibah yang berlaku merupakan ujian ke atas hambaNya. Bentuk dugaan Allah adalah berbeza-beza, bergantung kepada tahap kemampuan keimanan dan fizikal manusia yang berbeza-beza. Lantaran itulah, menerusi ayat tersebut Allah telah memperincikan bentuk dugaan yang berbeza-beza seperti ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan kebendaan. Apa yang paling penting ialah kita perlu bersabar, apabila ujian tersebut terkena kepada kita.

Fenomena semasa di Malaysia, menunjukkan bencana banjir muncul akibat hujan yang turun dalam tempoh yang agak lama, juga berkait rapat dengan sistem perparitan yang tidak sempurna. Kesan daripada banjir tersebut mengakibatkan ramai mangsa banjir terpaksa berpindah ke tempat yang lebih selamat dan membawa bersama-sama keperluan yang penting sahaja.

Oleh yang demikian, adalah diingatkan agar semua yang berada di rantau ini, khususnya di negeri kita ini Terengganu Darul Iman, agar bersiap-siaga menghadapi bencana tersebut. Langkah bersiap-siaga ini amatlah penting bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Sekurang-kurangnya apabila musibah tersebut berlaku, kita telahpun bersedia dengan pelbagai kemungkinan.

Mimbar Jumaat pada hari ini, sukacitanya mengemukakan beberapa langkah untuk menghadapi musim tengkujuh ini, antaranya :-

Pertama : memohon perlindungan daripada Allah SWT agar dijauhkan sebarang bencana yang menyukarkan kita. Perkara ini telah diajar oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. yang bermaksud, “Sesungguhnya Nabi SAW memohon perlindungan Allah Taala daripada ketetapan yang buruk, kesedihan akibat kesusahan, kegembiraan musuh dan sebarang usaha sehingga tertimpa bencana.” (HR Muslim)

Kedua : melakukan persediaan awal dengan menyimpan keperluan penting seperti dokumen, wang ringgit atau barang-barang yang berharga di tempat yang lebih selamat. Di samping itu, pastikan juga kenderaan dan ternakan anda berada di tempat lebih tinggi dan selamat dalam tempoh berkenaan.

Ketiga : kepada pihak berwajib, keperluan asas seperti beras, air bersih, tilam, bantal dan lain-lain lagi, perlu disediakan dengan secukupnya. Di samping itu, pusat perpindahan sementara juga perlu dikenalpasti lebih awal, dan pastikan tempat tersebut mampu menampung bilangan mangsa banjir yang dipindahkan dengan selesa. Pastikan juga kemudahan asas seperti bilik air, tandas, elektrik dan kemudahan-kemudahan yang lain dapat berfungsi sebaik mungkin.

Keempat : semua pihak perlu peka dengan perkembangan keadaan cuaca dari masa ke semasa. Pastikan juga maklumat tersebut diterima dari saluran rasmi atau dari sumber yang sahih dan boleh dipercayai. Ini adalah kerana semenjak akhir-akhir ini banyak maklumat palsu yang disebarkan dalam media sosial. Hampir semua maklumat tersebut amat sukar untuk disahihkan kebenarannya.

Kelima : kepada mangsa-mangsa banjir, adalah diingatkan agar kuatkan semangat dalam menghadapi kemelut ini dengan penuh kesabaran dan ketakwaan kepada Allah SWT. Persiapan mental dan jiwa perlu kuat untuk menghadapi kesulitan yang serba kekurangan apabila berada di pusat-pusat perpindahan nanti. Jangan berhenti berdoa dan menunaikan solat-solat fardu dan sunat khususnya solat secara berjemaah, meskipun berada dalam kesulitan. Yakinlah bahawa segala ujian dan dugaan tersebut mampu meningkatkan lagi ketakwaan kita kepada Allah Taala.

Sebagai kesimpulan pada hari ini, adalah diingatkan bahawa bencana atau musibah ini adalah ketentuan Allah SWT. Kita sebagai hambaNya perlu merancang untuk sentiasa bersiap-siaga terhadap sebarang musibah yang bakal dihadapi. Apa yang paling penting, setelah pelbagai usaha dan ikhtiar dilakukan dalam menghadapi sebarang bencana, bertawakallah kepada Allah, semoga kita semua tabah menghadapi sebarang bencana yang menimpa.

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 3 November 2017]