CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Bengkel Pembentangan Perancangan Bajet 2017

15578103_1702810146695776_8397170506935879547_o

Pelbagai pihak telah meramalkan bahawa tahun 2017 merupakan tahun yang penuh cabaran terutamanya dari segi ketidaktentuan ekonomi dan kestabilan harga minyak dunia. Namun, di sebalik pelbagai cabaran yang bakal ditempuh, tahun 2017 juga menyediakan pelbagai peluang yang seharusnya direbut dengan perancangan dan strategi yang rapi. Menyedari akan keadaan yang bakal ditempuh oleh UMT pada tahun 2017, Pejabat Bendahari UMT telah menganjurkan Bengkel Pembentangan Perancangan dan Pelaksanaan Aktiviti Bagi Bajet Tahun 2017/2018 pada 14 Disember 2016 bertempat di TH Hotel & Convention Centre Terengganu. Bengkel tersebut telah dihadiri oleh Naib Canselor dan Ketua-ketua Jabatan telah membincangkan perancangan bajet mengurus, program pelan strategik dan perancangan perbelanjaan akaun-akaun amanah UMT.

Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor UMT dalam ucapannya telah menyatakan bahawa secara puratanya semua Universiti Awam akan mengalami pengurangan bajet mengurus pada tahun 2017, namun ia perlu disusuli dengan pelbagai inisiatif kewangan seperti penjimatan kos operasi, penggunaan sumber yang optimum dan perancangan perbelanjaan kewangan bagi projek yang berimpak tinggi. “Isu kekangan kewangan akan menjadi masalah bagi semua UA. Kita perlu tunjukkan pencapaian kepada pemegang taruh bahawa kita mampu melaksanakan aktiviti yang berimpak tinggi. Kita juga perlu berusaha untuk mendapatkan dana-dana daripada pihak lain untuk menyokong aktiviti universiti. Malah, kita akan memantau prestasi pengurusan kewangan PTj dan prestasi staf dengan rapi agar semua bergerak mengikut hala tuju yang telah ditetapkan oleh universiti,” kata beliau semasa merasmikan bengkel tersebut.

Dalam bengkel tersebut juga, Naib Canselor UMT telah menyampaikan sijil penghargaan kepada 5 PTj yang terbaik dalam menjana pendapatan tertinggi pada tahun 2016 iaitu Kolej Siswa, Institut Bioteknologi Marin, Makmal Berpusat, Institut Akuakultur Tropika, dan Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maritim.