UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Tiada Hari Tanpa Sunnah

keajaiban-anggota-tubuh-rasulullah-saw-yang-jarang-diketahui

Marilah kita sama-sama menyintai Rasulullah s.a.w. dengan mengimani kerasulan baginda dan mengikut jejak langkahnya. Dengan itu, hidup kita akan bahagia, mulia dan semoga diampunkan segala dosa. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Hadid ayat 28 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Nabi Muhammad s.a.w.) supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian daripada rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkanNya dosa kamu, dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Setiap kali, bila tiba bulan Rabiulawal, ia mengingatkan kita kepada tarikh kelahiran seorang insan teragung, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. yang dilahirkan di bumi Makkah al-Mukaramah pada tahun gajah. Masihkah kita ingat? Sedikit masa dahulu, apabila tibanya bulan seperti ini, maka bergemalah suara orang-orang yang berzanji, bermarhaban, membaca qasidah, berselawat dan salam memuji Nabi Muhammad s.a.w. Namun, kini pengalaman dan suasana seperti itu, semakin terhakis dan pupus.

Sesungguhnya terlalu banyak aspek yang boleh dikupas, apabila kita memperkatakan Maulidur Rasulullah s.a.w., tetapi cukuplah saya tegaskan, bahawa kita sebenarnya betul-betul beruntung, kerana menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w. Baginda bukan sahaja pembawa syiar Islam yang bersifat sederhana dan tidak membebankan, malahan telah menunjukkan teladan gaya hidup terbaik, yang disenangi oleh semua orang.

Justeru, semua sahabat mengakui bahawa Rasulullah s.a.w. itu, memiliki akhlak yang sangat terpuji atau dalam bahasa seharian, dapat dikatakan bahawa baginda adalah seorang yang sangat baik, sangat pandai menjaga hati serta perasaan orang lain.

Diriwayatkan, ada seorang Badwi yang kencing di dalam Masjid Nabawi, namun Nabi s.a.w. tidak memarahi lelaki tersebut, sebaliknya hanya meminta supaya dibasuhkan sahaja penjuru tersebut. Begitu juga kisah hidup Saidina Bilal bin Rabah r.a. yang amat mengasihani Nabi. Kerana itu, apabila baginda telah wafat, beliau tidak lagi melaungkan azan bahkan keluar merantau ke bumi Syam, kerana tidak tahan menanggung rindunya kepada baginda Nabi s.a.w. Sebabnya ialah Rasulullah s.a.w. telah memuliakannya, walaupun berkulit hitam daripada kalangan hamba abdi pula, bahkan lidahnya tidak sefasih orang lain, namun baginda tetap melantiknya sebagai muazin untuk menyeru umat Islam supaya bersembahyang.

Perlu difahami, bahawa mengamalkan sunnah Nabi bukanlah sesuatu yang membebankan. Sebenarnya, dalam kehidupan seharian, kita sudah banyak mengamalkan sunnah Nabi. Antaranya bersedekah, makan berjemaah, mengucap salam, mengamalkan kebersihan, jujur dalam percakapan dan perbuatan, menutup aurat dan berpakaian sopan, sembahyang berjemaah, mencari nafkah yang halal dan sebagainya.

Di samping itu, terdapat beberapa sunnah yang perlu diberi penekanan seperti menunaikan sembahyang dengan sempurna dan khusyuk, menuntut ilmu sepanjang hayat, jujur dan amanah, memberi nafkah kepada keluarga, berakhlak mulia, syukur apabila menerima nikmat, sabar apabila menghadapi ujian, tidak melampaui batas apabila berselisih faham, tidak menyakiti jiran tetangga dan banyak lagi.

Apa yang penting, suburkan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. sebagaimana kecintaan para sahabat kepada baginda, melebihi kecintaan kepada yang lain. Sehingga tiada hari dalam hidup mereka, tanpa sunnah Nabi. Inilah sebenarnya antara kehebatan dan keistimewaan generasi salafussoleh, selain kesungguhan perjuangan mereka mendaulatkan syiar Islam.

Kerana itu, sewajarnya mereka mendapat pujian dan jaminan daripada Rasulullah s.a.w., bahawa mereka adalah generasi terbaik yang dilahirkan, kemudian zaman sahabat, seterusnya zaman tabiin. Mereka benar-benar menjiwai ayat 31 daripada surah Al-Imran, yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan ingatlah, Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Percayalah, walaupun kita tidak pernah menatap wajah baginda, namun hati kita akan merasai betapa dekatnya Rasulullah s.a.w., kalau kita ikhlas mengamalkan sunnah-sunnah Nabi. Terkadang boleh menitiskan air mata, membaca dan mendengar sirah Rasulullah s.a.w., yang begitu sabar menghadapi karenah umatnya, yang berusaha siang dan malam mendidik serta membimbing umatnya supaya hidup selamat di dunia dan di akhirat. Firman Allah taala dalam surah Al-Jumaah, ayat 2, yang bermaksud, “Dialah (Allah s.w.t.) yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang Arab yang ummiyin (yang tidak tahu membaca dan menulis) seorang Rasul (yakni Nabi Muhammad s.a.w.) daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan dan kekuasaannya), dan membersihkan mereka (daripada iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. itu) adalah dalam kesesatan yang nyata.”

Mungkin sebelum ini, ada tindakan dan amalan yang kita lakukan terkeluar daripada sunnah Rasulullah s.a.w., sama ada dalam ibadah sembahyang, dalam kira bicara sesama manusia, lebih-lebih lagi kepada Allah s.w.t., maka marilah kita beristigfar, berhijrah sikap, dan memulakan hidup baru sesuai dengan panduan al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Ahzab, ayat 21, yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah baik-baik (dalam masa susah dan senang).”

Semoga Allah s.w.t. memberkati kita semua dengan al-Quran, dan memberikan manfaat yang mencurah-curah dengan sunnah Nabinya s.a.w. Hidupkanlah sunnah Nabi dan berazam sesungguh hati untuk menjadikan seluruh hidup ini dengan prinsip Islam.

[Petikan khutbah Jumaat di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 16 Disember 2016]