UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Retreat Canselori : Hala Tuju Tahun 2015 dan Perancangan Tahun 2016-2017

‘RETREAT’ membawa maksud pengunduran atau pengasingan bagi menilai pencapaian dan keupayaan sebelum merancang untuk maju ke hadapan. Sesebuah organisasi kerap melakukan aktiviti retreat di kalangan staf bagi mencari kesepakatan dan membina semula pasukan ke arah matlamat yang lebih cemerlang. Oleh itu, pada 5-7 Mac 2015 yang lalu, Canselori UMT buat pertama kalinya telah menganjurkan program Retreat Canselori bagi menilai prestasi pencapaian tahun 2014 dan merancang hala tuju dan pelan tindakan untuk tahun 2015-2017. Program tersebut telah diadakan di Awana Kijal, Golf, Beach & Spa Resort dan dihadiri oleh semua staf Canselori.

G2

Dalam sesi pembukaan retreat, YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo, Naib Canselor UMT telah mengadakan sesi dialog dengan staf Canselori dan beliau telahberkongsi pengalaman peribadi sebagai seorang pekerja di UMT. Beliau juga menyatakan bahawa peningkatan ilmu kepakaran dan kemahiran boleh dilakukan melalui pembacaan, latihan, pertukaran idea, pengalaman, mencipta inovasi, mewujudkan kemahiran yang khusus dan pembelajaran sepanjang hayat. Beliau juga menyatakan bahawa ciri-ciri untuk bekerja dalam pasukan ialah memberi lebih banyak daripada menerima dan membina kepercayaan melalui konsep lingkaran kebimbangan dan lingkaran pengaruh. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa dalam membina pasukan yang hebat, majikan perlu menerima kenyataan bahawa staf mempunyai kepelbagaian yang tinggi dari segi kemahiran, tahap pemikiran dan pengalaman hidup. Oleh itu, majikan perlu mengambil pendekatan yang bersesuaian bagi memimpin pasukan ke arah mencapai matlamat pasukan.

G3

Bagi menilai keupayaan Canselori dan merancang pelan tindakan masa hadapan, 3 kumpulan telah dibentuk untuk membincangkan fungsi-fungsi utama Canselori iaitu pengurusan tertinggi dan perancangan strategik, komunikasi dan citra, dan tadbir urus. Selain daripada perbincangan kumpulan, staf Canselori juga melaksanakan aktiviti rekreasi iaitu bola sepak pantai dan bola tampar pantai. Retreat Canselori kali ini juga menyaksikan penyampaian Anugerah Staf Bulanan Terbaik (September dan Disember 2014) yang disampaikan oleh YBhg. Naib Canselor dalam Majlis Makan Malam Canselori 2015. Retreat ini juga telah berjaya mengukuhkan lagi hubungan silaturahim, semangat kerja berpasukan, kebersamaan dalam membina matlamat serta penghayatan dalam melakukan tugas yang diamanahkan di kalangan staf Canselori.

Disediakan oleh :-

Abdullah Syukri bin M. Saleh,
Ketua Pentadbiran Canselori
10 Mac 2015
Foto : Team Media Kreatif, PKKPC