Naib Canselor UMT, Prof. Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim telah mengadakan Ziarah Bingkas Kasih ke rumah pelajar baharu, Saudari Hanisah binti Suryadi, di Kampung Changkat Batu 6, Gombak Selangor pada 20 September 2024. Hanisah adalah anak kelima dalam keluarganya dan merupakan pelajar jurusan Sarjana Muda Teknologi Alam Sekitar di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan UMT.
Dalam ziarah yang sama, Naib Canselor UMT turut menziarahi Saudari Siti Aina Muhlisa binti Munzani, pelajar jurusan Sarjana Muda Sains (Matematik Kewangan) di Fakulti Sains Komputer dan Matematik UMT yang tinggal di Batu 7, Gombak Selangor. Siti Aina adalah anak ketiga daripada enam beradik dan mempunyai seorang adik kelainan upaya.
Menurut Naib Canselor UMT, kedua-dua pelajar ini berasal dari golongan keluarga berpendapatan rendah (B40) dan mereka turut meluahkan rasa syukur kepada Pengurusan UMT atas bantuan dan motivasi untuk menyambung pengajian di UMT. Inisiatif Bingkas Kasih yang dianjurkan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar UMT ini merupakan bukti kesungguhan dan tanda keprihatinan UMT dalam memberikan sokongan secara langsung seperti bantuan yuran pengajian kepada pelajar. Melalui inisiatif ini, seramai 70 pelajar baharu telah mendaftar untuk menerima bantuan dalam meringankan beban keluarga bagi membiayai yuran pengajian dan keperluan lain menjelang 1 Oktober 2024.
Turut hadir dalam sesi Ziarah Bingkas Kasih adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain.