Unit Integriti UMT anjurkan PODCAST Integriti dan Rasuah
Unit Integriti UMT dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Terengganu dan Kelab Angkatan Mahasiswa AntiRasuah (AMAR) UMT, UniSZA dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kemaman telah menganjurkan program PODCAST Integriti dan Rasuah pada 28 Julai 2024. Program PODCAST ini telah disiarkan secara langsung dalam talian melalui platform Webex, Facebook dan YouTube.
Program PODCAST ini telah dikendalikan oleh Encik Mohd Juhari bin Ab Kadir, CeIO, Pegawai Integriti Kanan (Penyelaras Kelab AMAR, UMT) selaku moderator. Antara panel jemputan yang hadir dalam program PODCAST ini terdiri daripada Tuan Haji Zainal bin Ayob, Penolong Pesuruhjaya (Timbalan Pengarah Operasi, SPRM Terengganu); Puan Majedah binti Mokhtar, Ketua Penolong Pendaftar (Penyelaras Kelab AMAR, UniSZA); Puan Nur Amalina binti Dato’ Haji Razali, Kaunselor (Penyelaras Kelab AMAR, KKTM Kemaman).
Dalam tempoh dua jam bersiaran, barisan panel telah mengupas pelbagai isu dan perkembangan semasa mengenai kepentingan memahami dan menghayati nilai integriti dalam kehidupan terutamanya kepada pelajar Institut Pendidikan Tinggi (IPT). Selain itu, mereka juga membicarakan bahaya gejala rasuah dan kes-kes salahlaku yang sering berlaku dalam organisasi dan sewaktu pengajian di IPT. Amalan budaya hidup berintegriti dan membenci rasuah perlu diterapkan dalam diri pelajar agar negara dapat melahirkan generasi muda yang bertamadun tinggi.