Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam sektor ekonomi biru dengan penubuhan Blue Economy Advancement Centre (UMTBeacon) atau Pusat Pemajuan Ekonomi Biru yang dilancarkan sempena Sesi Perbincangan Meja Bulat Ekonomi Biru yang diadakan di Hotel Everly Putrajaya pada 23 September 2024. Majlis pelancaran UMT Beacon disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Profesor Dr. Mohamad Salmi Mohd Sohod.
Perbincangan meja bulat Ekonomi Biru yang membawakan tema “Memacu Pertumbuhan Ekonomi Melalui Ekonomi Biru di Malaysia” adalah bertepatan dalam menyumbang kepada pembangunan agenda penting ekonomi negara. Sekumpulan pemikir, pembuat dasar, penyelidik, dan pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor berkumpul di program tersebut bagi meyumbangkan idea dan kepakaran untuk masa depan Malaysia yang lestari.
Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mohd Zamri Ibrahim menjelaskan mengenai visi UMT dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi biru serantau dan antarabangsa. Menurutnya, penubuhan UMT Beacon bukan sahaja mencerminkan komitmen UMT terhadap ekonomi biru tetapi juga menunjukkan kesungguhan universiti pelopor bidang sains marin itu dalam menyokong agenda pembangunan mampan negara.
UMTBeacon akan memainkan peranan penting sebagai hab penyelidikan dan inovasi dengan tumpuan kepada lima bidang utama yang menjadi pemacu ekonomi biru mencakupi ilmu perikanan dan akuakultur lestari, pemuliharaan ekosistem marin, ‘blue energy’, pelabuhan dan perkapalan maritim serta keusahawanan maritim. Pelancaran UMT Beacon juga disertai dengan kerjasama strategik antara UMT, Institut Maritim Malaysia (MIMA), PLANMalaysia serta Sekretariat Sabah Maju Jaya.