UMT telah melakar sejarah menjadi Universiti Awam yang pertama di Malaysia menubuhkan ”Teaching Accountancy Firm atau TAF” dengan kerjasama Salihin Chartered Accountants, sebuah firma audit berlesen di Malaysia. Majlis memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) antara UMT dan Salihin Chartered Accountants telah diadakan pada 29 Disember 2015 bertempat Auditorium Mayhuddin UMT. UMT diwakili oleh Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar, Naib Canselor UMT manakala Salihin Chartered Accountants pula diwakili oleh Encik Salihin bin Abang, Managing Partner. Konsep penubuhan TAF adalah hampir sama seperti ”Teaching Hospital” yang digunakan untuk pelajar-pelajar perubatan dan ia dilaksanakan di bawah program “Industri@UMT” yang merupakan langkah proaktif UMT bagi menjalinkan hubungan erat dengan pihak industri. Malah ia selaras dengan Lonjakan 4 – Hubungan dan Jaringan Industri yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).
Encik Salihin dalam ucapannya menyatakan, tujuan utama TAF adalah bagi memperkasakan program Sarjana Muda Perakaunan UMT agar pelajarnya lebih kompetitif, berdaya saing dan meningkatkan kebolehpasaran graduan. Selain itu, ia memberikan peluang kepada pelajar dan pensyarah untuk merasai pengalaman sebenar dalam dunia perakaunan dan mewujudkan hubungan strategik yang lebih erat antara rakan industri dengan pensyarah. Beliau turut menyatakan graduan sukar mendapatkan pekerjaan kerana kurangnya pendedahan daripada rakan industri mengenai suasana sebenar alam pekerjaan dalam bidang masing-masing. Setelah melihat kejayaan penubuhan TAF, beliau berhasrat untuk membangunkan makmal perakaunan, makmal pengauditan dan makmal forensik perakaunan bagi meningkatkan lagi profesionalisme perakaunan di Malaysia.
YBhg. Prof. Dato’ Nor Aieni, Naib Canselor UMT pula dalam ucapannya mengharapkan penubuhan TAF dapat membantu UMT dalam memantapkan kurikulum program pengajian Perakaunan, membuka peluang kepada pensyarah mengikuti program sangkutan dan bekerjasama rapat dengan industri, memberikan peluang kepada industri untuk mewujudkan kemudahan berskala industri dalam kampus bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran, dan meningkatkan kebolehpasaran graduan perakaunan UMT.
Pejabat TAF yang ditempatkan di Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maritim, UMT akan memulakan operasi rasmi pada 1 Januari 2016 dengan menawarkan perkhidmatan seperti pengauditan, penyediaan akaun, kesetiausahaan syarikat, percukaian, khidmat nasihat dan lain-lain perkhidmatan berkaitan. Semua perkhidmatan TAF akan dikendalikan sepenuhnya oleh Salihin Chartered Accountants.