UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT Menerima Naib Canselor Wanita Yang Pertama

Pada 21 April 2015 yang lalu, Canselori UMT telah menyambut ketibaan Naib Canselor yang baharu iaitu YBhg. Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar bagi menggantikan Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo yang telah menamatkan perkhidmatan pada 12 April 2015. Beliau telah diberikan amanah untuk memegang jawatan tersebut bagi tempoh tiga tahun bermula 13 April 2015 hingga 12 April 2018. Pelantikan ini mencipta sejarah buat UMT kerana beliau merupakan wanita pertama dilantik sebagai Naib Canselor UMT. Sebelum ini, beliau telah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT mulai 1 November 2014.

G2G3

Pada hari tersebut, Pejabat Naib Canselor UMT telah mengadakan majlis ringkas menyambut ketibaan beliau di Kompleks Siswa UMT. Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Pendaftar, Bendahari, Pengarah Pembangunan dan Harta,  dan Penasihat Undang-undang. Ia disusuli dengan bacaan doa oleh Ustaz Haji Riswadi Azmi dan seterusnya beliau telah mengetip kad perakam waktu sebagai tanda simbolik hari pertama bertugas sebagai Naib Canselor di UMT.

G5G4

Berpegang kepada konsep ‘menghormati yang dahulu, membina perancangan baharu’, beliau merakamkan ucapan terima kasih atas sambutan dan sokongan yang diberikan kepada beliau bagi melaksanakan tugas di UMT. Beliau berharap dapat memberikan sumbangan yang terbaik dalam memimpin UMT ke arah kecemerlangan dalam bidang ilmu kelautan dan sumber akuatik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

G6

Biodata Naib Canselor

Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar adalah anak kelahiran Besut, Terengganu. Beliau merupakan profesor dalam bidang “Ionisation Physics & Laser Technology” di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau memperoleh Bachelor of Science (Physics) dari State University of New York (SUNY)-Binghamton, New York USA (1980), Master of Science (Physics) dari University College of Swansea, Wales, United Kingdom (1983) dan Ph.D. (Physics-Laser Technology) dari Universiti Teknologi Malaysia (1992). Dalam dunia akademik, beliau telah menghasilkan lebih daripada 120 penerbitan artikel, beberapa projek-projek penyelidikan dan perundingan sehinggalah kepada penghasilan produk yang telah berjaya dipatenkan.

Beliau telah dikurniakan Darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) oleh DYMM Sultan Terengganu pada tahun 2012, Darjah Johan Setia Mahkota (J.S.M.) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2010, Anugerah Tokoh Wanita Terengganu pada tahun 2008 dan beberapa pencapaian anugerah yang lain.

Di peringkat kebangsaan, beliau pernah dilantik sebagai Setiausaha Bahagian Direktorat Oseanografi Kebangsaan (NOD), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ketua Pegawai Eksekutif ISI Ventures Sdn Bhd, Timbalan Pengarah Eksekutif Institut Sultan Iskandar, UTM, Ahli Majlis Maritim, Ahli Jawatankuasa Terumbu Karang Buatan, Ahli Majlis Taman Laut dan Ahli Majlis ‘STI-Climate Change & Biodiversity (MOSTI).

Di peringkat antarabangsa pula, beliau dilantik sebagai Naib Pengerusi II Majlis Eksekutif Intergovernmental Oceanographic Commission (IOC) UNESCO bagi Pasifik Barat (IOC / WESTPAC) dan Kumpulan Penasihat Saintifik. Beliau juga dilantik untuk mengetuai Jawatankuasa Saintifik berkaitan penyelidikan sains marin dan oseanografi serta sebagai Sekretariat Kebangsaan bagi Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang (CTI).

Dalam menyokong aktiviti CTI di Malaysia, beliau telah melaksanakan pelbagai program termasuk penubuhan Sekretariat CTI Wilayah, Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan CTI (NCC) untuk pelaksanaan Pelan Tindakan Kebangsaan dan penerbitan Laporan Negeri-negeri Segi Tiga Terumbu Karang, Profil Persekitaran Pesisir ASEAN.