Penganjuran program keusahawanan yang berimpak tinggi merupakan salah satu usaha UMT dalam melahirkan pelajar yang holistik berciri keusahawanan dan seimbang. Oleh itu, pada 27 Oktober 2016, UMT telah melancarkan Program Eko Pelancongan : Nature Guide Apperentice dan 1st Bakery Project bagi mengasah bakat pelajar serta memperkasakan minda keusahawanan di kalangan pelajar. Program tersebut telah dilancarkan oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Noraieni binti Mokhtar, Naib Canselor UMT, dan turut disaksikan oleh pegawai dan pelajar UMT.
Program Eko Pelancongan dilancarkan untuk melengkapkan diri pelajar menjadi bakal Pemandu Pelancong Berlesen bagi mempromosikan bidang pelancongan alam semula jadi setempat meliputi kawasan Terengganu dan Kelantan. Pada masa yang sama, ia dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran interpersonal pelajar sebagai duta kecil negara dalam bidang pelancongan. Bagi menjayakan program ini, UMT bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Putrajaya (MOTAC) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi menyediakan kursus dan peperiksaan untuk melahirkan pemandu pelancong yang berlesen.
Program 1st Bakery Project pula akan memberikan pendedahan kepada pelajar dan cabaran yang sebenar dalam dunia perniagaan kulinari. Ia turut menjadi inkubator untuk mengasah, mendidik, dan melahirkan pelajar yang berkemahiran dalam bidang kulinari berasaskan kek, roti dan pastri. UMT akan bekerjasama dan menjadikan De’Jour Miss Pastry sebagai ‘Pilot Test’ dan premis/inkubator dan tempat menjalankan aktiviti perniagaan. Selain itu, UMT juga akan bekerjasama dengan pihak MARA bagi menyediakan tenaga pengajar pembuatan kek dan pastri.