Kuala Nerus, 13 Feb 2017 – Program 2u2i merupakan program akademik 2 tahun di universiti dan 2 tahun di industri yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada tahun 2016. Pelaksanaan program akademik 2u2i adalah untuk menyokong pendidikan fleksibel yang memberikan pengalaman sebenar di industri yang menjadi sebahagian daripada proses pembelajar pelajar. Selain itu, program ini juga merupakan usaha untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran pelajar universiti bagi menempuh alam pekerjaan.
Sehubungan dengan itu, UMT telah merealisasikan model 2u2i menerusi program Sarjana Muda Perakaunan dengan penubuhan Teaching Accountancy Firm (TAF) hasil kerjasama UMT dengan firma SALIHIN (Chartered Accountants). Konsep TAF adalah yang pertama di dunia yang berfungsi sebagai hab untuk mengintegrasikan pembelajaran dan latihan di kalangan pelajar dalam bidang perakaunan. Di samping itu, program 2u2i juga dapat melahirkan lebih ramai pakar di kalangan pensyarah menerusi pengembangan dan perkongsian ilmu dengan pihak industri.
“Sistem pendidikan tinggi perlu berubah bagi membina pendidikan tinggi yang terbaik untuk rakyat. Kita harus bergerak dan maju ke hadapan dan penglibatan pihak industri dalam meningkatkan mutu pendidikan tinggi amat dihargai. Untuk melahirkan graduan yang holistik, mempunyai ciri keusahawanan dan seimbang, maka pensyarah harus mempunyai sekurang-kurangnya 30% pengalaman dalam industri. Sebab itu kita melancarkan program 2u2i yang berteraskan konsep ‘Learn & Earn’ yang memberikan manfaat kepada pelajar, pensyarah dan pihak industri,” kata Dato’ Seri Idris bin Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi semasa merasmikan pelancaran program 2u2i Sarjana Muda Perakaunan di Auditorium Mahyuddin, Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maritim, UMT pada hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyaksikan pemeteraian perjanjian Program Accelarate yang ditandatangani oleh Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar dengan Ketua Pendidikan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), Encik Helmy Mohtar. Turut hadir sama ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan Pengasas Salihin Chartered Accountants, Encik Salihin Abang.
Program ACCA Accelerate akan memberikan kelebihan kepada pelajar Sarjana Muda Perakaunan di UMT untuk mengambil kursus ACCA serentak dengan kursus sarjana muda mereka. Mereka akan diberikan pengecualian bersyarat 9 subjek ACCA peringkat asas dengan mengambil kursus-kursus universiti yang mendapat pengiktirafan ACCA. Melalui program ini juga, pelajar akan diberi peluang untuk mengambil selebihnya 5 subjek ACCA peringkat profesional semasa atau selepas pengajian sarjana muda mereka.
“Kerjasama UMT dengan pihak Salihin Chartered Accountants dan ACCA telah banyak mengubah corak pendidikan tinggi negara agar terus relevan dengan keperluan semasa industri. Hari ini UMT telah memahat sejarah tersendiri apabila berjaya memperkenalkan sistem pembelajaran yang lebih baik kepada pelajar dan negara,” kata Dato’ Seri Idris lagi.