12 Julai 2025 – Pusat Alumni HEPA, UMT telah menganjurkan program UMT Grand Alumni Homecoming 2025: Golden Threads of Yesterday yang telah berlangsung dengan jayanya pada 12 Julai 2025 (Sabtu) bertempat di Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur.
Majlis yang julung kali diadakan itu bukan sekadar pertemuan semula tetapi menjadi platform penting memperkukuh ikatan antara alumni dan alma mater serta melancarkan inisiatif besar yang menjanjikan impak berterusan kepada sistem pendidikan melalui Projek Khas Wakaf Ilmu: Rumah Pendidikan dan Kebajikan Alumni UMT.
Seramai lebih 300 alumni dari seluruh negara telah menghadiri majlis ini. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pro Canselor UMT, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Prof. Dr. Mohamad Salmi Sohod, Naib Canselor UMT,YBhg. Prof Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim,Timbalan Naib Canselor (HEPA), Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain serta barisan pengurusan tertinggi universiti.
