UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT diiktiraf sebagai universiti ke-195 terbaik Asia 2025

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mencipta sejarah apabila berjaya mendaki dua anak tangga ke kedudukan ke-195 dalam QS World University Rankings: Asia 2025, berbanding kedudukan ke-197 pada tahun sebelumnya.

Naib Canselor UMT, Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, menzahirkan rasa bangga atas pencapaian ini dan menyifatkan bahawa pencapaian ini merupakan yang terbaik dalam sejarah UMT, kerana universiti kini tergolong dalam kelompok 20% teratas di kalangan universiti terbaik Asia.

UMT mencatat peningkatan skor dalam semua 11 indikator yang dinilai, termasuk pencapaian tertinggi dengan 80% skor bagi indikator staf akademik berkelulusan PhD, yang mencerminkan kualiti tenaga pengajar UMT dalam memastikan pengajaran dan pembelajaran yang cemerlang.

Peningkatan signifikan dalam skor bagi indikator Jaringan Penyelidikan Antarabangsa (IRN) dan Inbound Exchange Students menunjukkan bahawa UMT semakin menjadi pilihan utama bagi pelajar dan ahli akademik antarabangsa untuk pengajian dan kerjasama penyelidikan. Menurut Dr. Mohd Zamri, strategi dan inisiatif untuk meningkatkan keterlihatan global, yang dirangka dalam Pelan Strategik UMT 2023–2027, telah mula menunjukkan hasil.

“Keputusan ini melibatkan penilaian ke atas 984 universiti dari seluruh Asia yang tersenarai dalam QS World University Rankings: Asia 2025,” ujarnya.

Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada seluruh warga UMT yang komited dan gigih dalam memastikan UMT terus berada pada kedudukan terbaik. Menurut beliau, kejayaan ini hasil kebersamaan warga UMT merealisasikan pencapaian strategik selaras dengan visi menjadi sebuah universiti berfokus terunggul dalam bidang ilmu kelautan dan sumber akuatik.