UMT cipta sejarah jadi Universiti Pelaksana Program WIFIdx Pertama di Malaysia
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi universiti pertama di Malaysia dipilih sebagai pelaksana program WIFIdx (The Women ICT Frontier Initiative) di Malaysia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Naib Canselor UMT, Profesor Ts. Dr. Mohd. Zamri Ibrahim, UMT telah dipilih sebaai pelaksana WIFIdx di Malaysia untuk tempoh dua tahun. Sehingga kini WIFIdx telah dilaksanakan di 12 buah negara merentasi rantau Asia Pasifik termasuklah Armenia, Bangladesh, Cambodia, India, Kyrgyzstan, Papua New Guinea, Filipina, Sri Lanka dan Thailand. Melalui usaha ini, UMT berhasrat untuk membantu meningkatkan kehidupan dan taraf ekonomi masyarakat yang membawa manfaat besar.
Majlis pelancaran WIFIdx telah disempurnakan oleh Tuanku Canselor UMT, Sultanah Terengganu di Majlis Santapan Petang sempena Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-22 bertempat di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu pada 19 Oktober 2024. Terdahulu, keberangkatan tiba baginda bersama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin disambut Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan kepimpinan UMT.
Menurut beliau lagi, WIFIdx merupakan singkatan kepada “United Nations Women ICT Frontier Initiative” adalah program inisiatif pengukuhan ICT wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (WIFIdx) dilancarkan pada tahun 2016 di bawah Asian and Pacific Training Centre for Information and Communication Technology for Development (APCICT), berpangkalan di Incheon, Korea. WIFIdx bertujuan untuk memupuk program keusahawanan wanita di Asia dan Pasifik melalui pembangunan kapasiti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).