UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Motivator Muda Ikon Pelajar

17635420_1759436901033100_5471149550634783513_o

KUALA NERUS, 29 Mac – Pelajar UMT tidak seharusnya bijak dalam bidang akademik semata-mata tetapi perlu menonjolkan potensi diri untuk menjadi agen perubah dalam masyarakat untuk meneroka kecemerlangan diri dan membina budaya hidup yang bertamadun. Menyedari akan kepentingan mahasiswa sebagai agen perubah, Seksyen Kaunseling dengan kerjasama Kelab Pembimbing Rakan Siswa UMT telah mengambil inisiatif menganjurkan program University Young Motivator Competition (U-MAC) peringkat UMT yang melibatkan setiap kursus daripada lapan Pusat Pengajian di UMT. Program yang diadakan pada 29 Mac 2017 bertempat di Auditorium INOS UMT telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Azlina Abu Bakar selaku Pengarah Pusat Pembangunan Holistik dan Kaunseling Pelajar UMT.

“Konsep program ini adalah berasaskan pertandingan ucapan awam. Peserta akan dibimbing untuk berucap di khalayak dan memberikan motivasi kepada para penonton yang terdiri daripada pelajar UMT dan pelajar sekolah terpilih melalui kerja lapangan dalam tugasan yang ditetapkan. Kita berhasrat untuk melahirkan pelapis motivator yang boleh menjadi pembimbing dan ikon kepada pelajar. Malah kita mahu membentuk keyakinan diri pelajar untuk menjadikan PRS sebagai medium untuk membentuk generasi motivator yang terbaik,” ujar Prof. Madya Dr. Azlina semasa merasmikan program tersebut kelmarin.

Dalam pertandingan tersebut, seramai enam orang pelajar telah terpilih ke peringkat akhir dan Muhammad Nuraffendi bin Mohamad, pelajar Sarjana Muda Sains (Biologi Marin) Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran UMT dengan tajuk “Usia Bukan Jaminan Kedewasaan” telah terpilih sebagai Johan dan akan mewakili UMT ke peringkat kebangsaan. Tempat kedua pula dimenangi oleh Muhammad Firdaus Saufi bin Mat Isa, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Noor Adilatul Husna binti Arfiee.