UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Ukhuwah Islamiyah Asas Penyatuan Ummah

ukhuwah

Memulakan khutbah Jumaat pertama awal Muharam tahun 1438H ini, saya menyeru dan mengajak diri saya dan tuan-tuan semua supaya bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar takwa. Beribadatlah kepada Allah dengan betul dan sesungguh hati, dan binalah ukhuwah Islamiyah yang sejati sesama kita umat Islam, sebagaimana yang pernah terjalin di kalangan muhajirin dan ansar pada zaman Rasulullah s.a.w. dan zaman-zaman keemasan Islam.

Sempena sambutan Maal Hijrah pada tahun ini dengan tema “Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah”, izinkan saya memetik firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Hujarat ayat 10 dan 11 sebagai peringatan kepada kita semua, yang bermaksud, “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua orang saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah s.w.t. supaya kamu beroleh rahmat. Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu pun (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka. Janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain, dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik), maka amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman, dan (ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”

Di dalam kitab hadis 40, Imam Nawawi membawa sebuah hadis yang bersumberkan daripada Abu Hurairah r.a., katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Janganlah kamu saling berhasad dengki, janganlah kamu saling menipu, janganlah kamu saling mencaci, janganlah kamu tidak bertegur sapa, janganlah sebahagian kamu menjual atas jualan orang lain. Jadilah kamu wahai hamba-hamba Allah, mereka yang bersaudara. Seorang Islam adalah saudara bagi seorang Islam yang lain. Maka tiadalah boleh dia membuat zalim kepada saudaranya, tidak dibolehkan dia menghinanya, tidak dibolehkan membohonginya, dan merendah-rendahkannya. Takwa itu di sini! Takwa itu di sini! Takwa itu di sini! Sambil Rasulullah s.a.w. mengisyaratkan ke dadanya tiga kali. Sudah cukup bagi seseorang itu dikira berdosa besar apabila dia menghina saudaranya yang Islam. Setiap muslim atas muslim yang lain diharamkan darahnya, hartanya dan maruahnya.”

Daripada petikan ayat suci Al-Quran, surah Al-Hujarat ayat 10 dan 11 dan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. tadi, dapatlah kita mengambil empat iktibar yang penting.

Pertama : Untuk hidup berjaya dalam erti kata yang sebenarnya, kita umat Islam mestilah hidup rukun damai, berasaskan semangat ukhuwah Islamiyah, seperti yang dihayati oleh Muhajirin dan Ansar r.a.

Kedua : Setiap individu muslim hendaklah membangunkan kekuatan rohani dan jasmani, dalam usaha menegakkan kalimah Allah s.w.t. di atas muka bumi ini.

Ketiga : Setiap muslim hendaklah saling mengasihi dan menyayangi antara satu sama lain, sepertimana mereka mengasihi diri sendiri. Janganlah lagi kita berhasad dengki, jangan tipu menipu, jangan saling bermusuh-musuhan dan jangan saling menkhianati terhadap sesama kita, kerana kita ibarat satu bangunan yang saling memperkukuhkan antara satu dengan yang lain.

Keempat : Setiap orang di kalangan kita hendaklah sentiasa berusaha untuk berhijrah dan berubah kepada sesuatu keadaan yang lebih baik.

Semoga tema Maal Hijrah pada tahun ini iaitu “Ukhuwah Islamiyah Asas Penyatuan Ummah” menjadi pembakar semangat kepada umat Islam untuk sentiasa bersatu hati dan berganding bahu dalam membina negeri Terenggan Darul Iman. Marilah kita menilai kembali kekuatan persaudaraan sesama kita selama ini. Kita telah lama bercakaran sesama sendiri, tidak bertegur sapa, tidak hormat-menghormati, tiada kerjasama dan tiada persepakatan dalam masyarakat. Bahkan mungkin ada yang bermusuhan, bertengkar, berbalah dan salling menyalahkan atau memburukkan pihak lain. Antara lain disebabkan kerana berlainan fahaman atau ideologi, salah faham ataupun mungkin kerana keangkuhan kita sendiri. Adakah ini asas kekuatan kita?

Maka pada hari Jumaat ini, saya menyeru dan mengajak sekali yang hadir, marilah kita kembali kepada panduan kita yang sama iaitu Al-Quran, hadis, ijmak ulamak, dan qiyas. Marilah kita bersatu hari dan hidup rukun damai, kerana kita sama-sama mengimani dan mentauhidkan Allah Yang Maha Esa, nabi yang satu iaitu Nabi Muhammad s.a.w., agama yang sama iaitu Islam, kitab panduan yang sama iaitu Al-Quran dan kiblat yang satu iaitu Kaabah.

[Petikan khutbah Jumaat Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 7 Oktober 2016]