UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Tuanku Canselor minta graduan teruskan usaha meneroka lautan ilmu tanpa henti

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kerana menunjukkan perkembangan dan kemajuan yang membanggakan berdasarkan prestasi dan indikator yang digunakan dalam penarafan universiti. Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT bertitah, walaupun masih muda dari segi usia, UMT kini dapat berada sebaris dengan universiti yang lebih lama. Malah, sebagai sebuah universiti berfokus, UMT telah membina dan mempunyai jenamanya yang tersendiri.

Tuanku Canselor UMT yang bertitah dalam Upacara Pembukaan Sidang Pertama Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-22 UMT di Dewan Sultan Mizan, turut menyeru warga UMT untuk meningkatkan kualiti akademik dalam aspek pengajaran supaya relevan dengan perkembangan semasa. Ini termasuklah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang boleh diintegrasikan dalam sektor pendidikan tinggi untuk hasil yang lebih adaptif dan optimum.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan berangkat pada majlis tersebut.

Tuanku Canselor UMT turut bertitah agar para graduan meraikan kejayaan dengan penuh rasa syukur dan rendah diri serta menghargai jasa ibubapa dan para pensyarah yang telah banyak berkorban demi kejayaan mereka. Para graduan juga digesa meneruskan usaha meneroka lautan ilmu tanpa henti. Sikap segelintir pihak dalam masyarakat yang mempersoalkan kepentingan pendidikan tinggi perlu dihentikan. Pendidikan adalah satu proses pemugaran manusiawi yang mempunyai elemen budi dan bakti. Ia bukanlah bersifat jual-beli kerana ia mempunyai hikmah yang membangunkan pemikiran dan sahsiah peribadi.

Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-22 menyaksikan seramai 2,775 graduan diraikan dalam enam sesi bermula pada 20 Oktober 2024. Mereka terdiri daripada 242 graduan pasca siswazah yang terdiri daripada 89 graduan PhD dan 153 graduan sarjana. Manakala seramai 2,533 graduan pra siswazah yang terdiri daripada 2,432 graduan sarjana muda dan selebihnya 101 graduan diploma.