UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Syarahan 100 Hari Pentadbiran Naib Canselor 2015 “Keutuhan Kolaborasi Pemangkin Kecemerlangan Inovasi”

G1

Pada 26 Ogos 2015, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar, Naib Canselor UMT telah menyampaikan Syarahan 100 Hari Pentadbiran Naib Canselor UMT 2015 yang bertajuk “Keutuhan Kolaborasi Pemangkin Kecemerlangan Inovasi”. Majlis syarahan tersebut telah diadakan di Dewan Sultan Mizan, UMT dan dihadiri oleh semua staf UMT. Syarahan ini merupakan siri syarahan kali pertama beliau semenjak menjadi Naib Canselor UMT mulai 13 April 2015 yang lalu. Ia merupakan wadah pemantapan hala tuju dan perancangan strategik UMT ke arah mencapai visi dan misi UMT.

G2

Dalam syarahan tersebut, Naib Canselor UMT telah menggariskan beberapa aspirasi baharu iaitu menerapkan konsep kerjasama dan kolaborasi sebagai teras pengurusan Universiti dan memperkasa program kelestarian dan penjanaan pendapatan universiti. Aspirasi baharu ini akan dilaksanakan melalui pemerkasaan governan, pembangunan dan pemerkasaan bakat, kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran, pengukuhan penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan autonomi dan kelestarian kewangan, pembangunan pelajar dan pemantapan citra. Dalam pemerkasaan bakat akademik, beliau meminta semua ahli akademik menumpukan kecemerlangan terhadap konsep 5P1K iaitu Pengajaran, Penyelidikan, Penyeliaan, Penerbitan, Pemindahan ilmu dan Kepimpinan akademik. Bagi bakat sokongan akademik pula, konsep 4K1P akan diterapkan iaitu Kecemerlangan, Kecekapan, Keberkesanan,

G3

Keterlibatan dan Pemerkasaan. Kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran pula akan dicapai melalui penawaran program-program baharu mengikut bidang tujahan, pelaksanaan ‘outcome based education’ (OBE), pelaksanaan Sistem CGPA Terintegrasi (iCGPA), dan pembangunan kursus atas talian (MOOC). Bagi memperkasa agenda penyelidikan dan inovasi, beliau menyarankan agar UMT menggiatkan usaha memperluaskan sumbangan ilmu pengetahuan dan teknologi baharu melalui aktiviti pemindahan ilmu dan inovasi sosial. Selain itu, UMT juga akan mempelopori pelaksanaan ‘Terengganu Innovation Valley’ sebagai salah satu usaha kolaborasi universiti dengan industri dan menyokong pelaksanaan Transformasi Terengganu Baharu (TTB).

G4

Di penghujung syarahan, Naib Canselor meminta warga UMT memperkukuhkan kerjasama berpasukan dan membuka minda agar lebih terbuka kepada semangat kebersamaan dalam mencapai visi dan misi UMT untuk menjadi sebuah universiti berfokus marin terunggul dalam negara dan disegani di peringkat global. Segala aspirasi yang digariskan perlu didokong melalui penghayatan terhadap nilai-nilai teras UMT iaitu ghairah kepada kebenaran, mengejar kecemerlangan, pemerkasaan kepimpinan akademik, menghormati kepelbagaian keserakanan dan menyemai kecintaan alam.  Dalam majlis tersebut juga, Naib Canselor UMT turut melancarkan Video Korporat UMT yang baharu dan Pameran 100 Hari Pentadbiran Naib Canselor yang telah disediakan oleh Pusat Komunikasi Korporat UMT.

G6