Islam adalah agama yang menyusun cara hidup yang lengkap, meliputi aspek keimanan, ibadah, muamalat, siasah, sosial dan ekonomi. Seluruh kehidupan dan keperluan manusia disusun secara lengkap oleh Islam. Islam disifatkan sebagai peraturan dan menu terbaik untuk manusia dan alam seluruhnya. Di sisi Allah hanya agama Islam yang diterima sebagai anutan dan pegangan. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Imran ayat 19, yang bermaksud, “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam…”
Oleh itu, Islam adalah syariat yang lengkap dan sempurna. Bermula kita bangun dari tidur hingga tidur semula, semuanya diajar dalam Islam. Pendek kata, Islam mengajar kepada kita semua adab-adab, akhlak, panduan dan peraturan dalam kehidupan. Tidak seorang pun dibolehkan untuk keluar dari landasan Islam jika ingin selamat. Bahkan Allah taala dengan tegas memberi amaran dan peringatan kepada sesiapa yang menentang perintah Allah sebagaimana yang dinyatakan dalam surah An-Nur, ayat 63, yang bermaksud, “Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu…”
Bagi orang Islam, tidak ada pilihan jika menginginkan kehidupan yang bahagia di dunia dan di akhirat kecuali mengikuti aturan Islam dan cinta terhadap aturan tersebut. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Saidina Umar al-Khatab r.a., “Kita adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam, sekiranya kita mengharapkan kemuliaan yang lain daripada Islam, nescaya kita akan mendapat kehinaan daripada Allah..”
Lawan kepada Islam ialah jahiliyah. Jika ada gaya hidup dan cara hidup Islam maka tentu juga ada gaya hidup dan cara hidup jahiliyah. Orang yang memilih cara hidup selain Islam disebut sebagai jahiliyah. Islam dan jahiliyah sudah tentu mempunyai cara hidup yang berbeza. Cara hidup Islam mempunyai asas landasan yang mutlak dan kuat, iaitu akidah. Inilah cara hidup orang yang beriman. Adapun cara hidup jahiliyah, landasannya bersifat sesat, iaitu syirik. Oleh itu, menjadi kewajipan kepada setiap muslim untuk memilih gaya hidup Islam dalam setiap amalan kehidupan. Perkara ini selaras dengan firman Allah dalam surah Yusuf, ayat 108, yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad) : Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata dan aku menegaskan : Maha Suci Allah dari segala iktikad dan perbuatan syirik. Dan janganlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”
Mutakhir ini, kita melihat ramai daripada kalangan umat Islam telah terbabas dari landasan gaya dan cara hidup Islam yang sebenar. Umat Islam telah diserang dari semua sudut oleh musuh-musuh Islam. Akidah tauhid yang longgar dan rapuh menyebabkan umat Islam mudah terpengaruh dengan pelbagai kefahaman dan ideologi yang boleh melemahkan dan merosakkan umat Islam. Akhirnya, umat Islam meninggalkan gaya dan cara hidup Islam dan mengambil cara hidup jahiliyah yang dihidangkan oleh musuh-musuh Islam iaitu yahudi dan nasrani dalam setiap aspek kehidupan. Fenomena ini menepati dengan apa yang digambarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesungguhnya kamu akan mengikuti jejak langkah orang-orang yang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, bahkan kalau mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun, nescaya kamu mengikuti mereka. Kami bertanya : Ya Rasulullah, orang yahudi dan nasrani? Jawab Rasulullah : Siapa lagi kalau bukan mereka.” (Riwayat Bukhari) Hadis ini menggambarkan suatu zaman di mana sebahagian besar umat Islam telah kehilangan identiti Islamnya yang sebenar kerana jiwa mereka telah diisi dengan identiti yang lain. Ini bermakna sendi-sendi kehidupan umat Islam kini sudah terlalu longgar dan banyak yang telah rosak. Seolah-olah sudah tidak kelihatan lagi ciri-ciri keindahan amalan Islam di dalam kehidupan umat Islam. Banyak daripada amalan-amalan Islam telah dilupa dan ditinggalkan. Lebih mendukacitakan apabila ia telah diganti dengan amalan-amalan jahiliyah yang ditiru dari barat.
Pada zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, kalau diibaratkan ilmu Islam itu ada sepuluh, amalan umat Islam juga ada sepuluh. Sebab itu Islam ketika itu syumul dan terlaksana di semua bidang kehidupan. Setelah berlalunya masa yang agak panjang, jatuhnya empayar Islam satu demi satu dan umat Islam mula dijajah oleh kuasa-kuasa barat, semakin banyak amalan dan cara hidup Islam ditinggalkan dan diganti dengan amalan-amalan dan cara hidup jahiliyah. Maka benarlah apa yang telah dinyatakan oleh Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah, ayat 20, yang bermaksud, “Orang-orang yahudi dan nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).”
Amalan yang masih tinggal hanyalah apa yang termaktub dalam rukun Islam sahaja. Itupun kerana ianya dijadikan rukun. Kalau tidak, mungkin amalan-amalan tersebut juga dilupakan. Justeru, masih ada orang Islam yang mengerjakan sembahyang, walaupun masih ramai yang meninggalkannya. Masih ada orang Islam yang berpuasa pada bulan Ramadhan, masih ada orang Islam yang membayar zakat dan masih ada yang menunaikan haji.
Manakala amalan-amalan lain yang bukannya rukun, seolah-olah sudah lenyap ditelan zaman. Itulah sebab orang Islam tidak banyak bezanya dengan orang bukan Islam. Kecantikan dan keindahan Islam sudah tidak dapat dilihat lagi. Keselamatan dan keamanan yang dijanjikan oleh Islam tidak dapat dirasakan lagi. Ini kerana orang Islam sudah tidak beramal dengan amalan dan ajaran Islam. Akhirnya, orang Islam menjadi lemah, orang Islam berpecah-belah, orang Islam benci-membenci dan bercakaran sesama sendiri, akhlak umat Islam runtuh menyapu bumi. Itulah sebab kenapa umat Islam tidak dihormati dan tidak lagi digeruni, malahan dikeji dan dihina di seluruh dunia.
Umat Islam sudah lupa berpakaian secara Islam, lupa cara pergaulan Islam, lupa cara hiburan Islam, lupa cara muamalat Islam, lupa tentang had dan batas-batas yang ditetapkan oleh Islam. Keadaan umat Islam menjadi semakin parah apabila timbulnya penyakit cintakan dunia dan takut kepada mati. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Kamu umat Islam akan dikelilingi oleh orang-orang kafir dan sesat dari berbagai penjuru, sebagaimana orang yang berkumpul mengelililingi hidangan yang ada di hadapan mereka. Seseorang bertanya, katakanlah wahai Rasulullah, apakah kami pada saat itu sedikit? Rasulullah berkata, bahkan kalian pada saat itu ramai, akan tetapi kamu adalah seumpama buih-bui air. Allah akan menghilangkan rasa takut dalam hati musuh kamu dan akan menimpakan dalam hati kamu “wahan”. Kemudian seseorang bertanya, apakah itu “wahan”? Rasulullah berkata, cintakan dunia dan takut mati.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Bagi menebus kembali maruah umat Islam yang sudah rosak ini, untuk membawa umat Islam kembali kemercu kegemilangan maka kita perlu kembali kepada cara hidup Islam dan meninggalkan amalan dan cara hidup jahiliyah yang sesat. Marilah kita menanam azam dan cita-cita untuk mengambil sepenuhnya amalan-amalan Islam dalam kehidupan. Antara pegangan dan amalan yang perlu diperkukuhkan oleh setiap orang Islam ialah :-
- Mesti mengukuhkan iman dan melaksanakan sepenuhnya rukun Islam.
- Mesti sentiasa berusaha mempertingkatkan sifat takwa kepada Allah dengan berakhlak mulia.
- Mesti sentiasa meneruskan tradisi belajar ilmu pengetahuan di samping mengenalpasti ciri-ciri jahiliyah.
- Mesti menyayangi dan menghormati kedua ibubapa, suami isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga serta jiran-tetangga.
- Mesti menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dan redha serta sabar menerima ujian Allah.
- Mesti bekerja bersungguh-sungguh untuk mencari nafkah untuk diri dan ahli keluarga.
- Mesti istiqamah untuk beramal dengan gaya hidup dan cara hidup Islam bagi mencapai keredhaan Allah untuk kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.
[Petikan khutbah Jumaat di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 30 Disember 2016]