Kuala Nerus, 13 Julai – Seramai 121 orang anak yatim daripada sekolah-sekolah di sekitar UMT melahirkan rasa syukur dan gembira kerana diraikan dalam Majlis Sambutan Aidilfitri UMT yang diadakan di Dewan Sultan Mizan UMT. Wajah anak-anak yatim ini bertambah ceria apabila mendapat hadiah ‘duit raya’ hasil sumbangan warga UMT yang disampaikan oleh Dato’ Mohammed Azlan Hashim, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Terengganu.
Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor UMT berkata, “Saya amat berbangga di atas keperihatinan dan semangat kasih sayang yang telah dipupuk oleh warga UMT yang tidak putus menghulurkan sumbangan untuk diagihkan kepada anak-anak yatim dikalangan staf dan komuniti setempat UMT sejak bulan Ramadhan yang lalu lagi. Duit raya kepada anak yatim yang akan diagihkan pada hari ini adalah hasil kutipan sumbangan ikhlas daripada semua warga UMT dan pihak yang bekerjasama rapat dengan UMT. Pihak UMT juga mengharapkan supaya sumbangan sebegini akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang sebagai usaha universiti untuk terus membantu komuniti setempat. Selain itu, majlis pada hari ini akan memberi peluang kepada semua warga UMT serta dif-dif jemputan untuk merapatkan silaturrahim sambil menikmati juadah yang disediakan. Secara tidak langsung, ia dapat mewujudkan semangat kekeluargaan dan mengukuhkan kesatuan sesama kita. Ia juga memberi kesempatan kepada kita untuk saling bermaaf-maafan dan juga mengeratkan lagi persahabatan yang sedia terjalin. Semoga Aidil Fitri ini menjadi kesempatan terbaik untuk saling melupakan perselisihan dan persengketaan dalam menjalankan tugas masing-masing, seterusnya mengukuhkan kerjasama antara individu dan jabatan.”
Pada tahun ini, semua PTj menyediakan gerai yang berkonsepkan ‘Rumah Terbuka PTj’ dengan pelbagai juadah makanan untuk tetamu universiti seperti nasi arab, kambing bakar, laksa, satay, lemang, ketupat, rendang, lontong, kuih-muih, cendol, buah-buahan dan sebagainya. Rumah Terbuka Canselori telah terpilih sebagai rumah terbuka paling ceria dan meriah.