Pada bulan Zulhijjah, setiap tahun, ingatan umat Islam disegarkan dengan kisah pengorbanan Nabi Ismail a.s. yang dengan penuh kerelaan menyerahkan jiwanya untuk dikorbankan oleh ayahanda Nabi Ibrahim a.s. Kisah dua beranak bersejarah ini, kemudiannya, disyariatkan dalam Islam dengan ibadah sembelihan korban menjelang Aidil Adha. Namun, di sebalik kisah pengorbanan suci ini, terselit beberapa hikmah, iktibar dan pedoman terutama dari segi pendidikan anak-anak. Oleh itu, tajuk khutbah pada hari ini ialah “Pendidikan Di Sebalik Pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s.”
Ujian Keimanan
Nabi Ibrahim a.s. menghadapi berbagai ujian berat, seperti berhadapan dengan penjaga baginda ‘Azar yang menolak ajakan untuk beriman, baginda dibakar dalam unggu api yang besar oleh Raja Namrud dan akhir sekali perintah Allah supaya dikorbankan anakanda yang sangat dikasihi Nabi Ismail a.s. tetapi berkat kekuatan iman dan ketaatan mutlak kepada Tuhannya, dengan izin Allah, baginda berjaya melepasi setiap ujian tersebut. Dalam pada itu, menjunjung perintah pengorbanan anakanda Nabi Ismail a.s. adalah ujian yang paling getir dan sangat mencabar. Namun, dengan izin Allah, serta berkat sifat-sifat kebaikan dibentuk hasil pendidikan berkesan terhadap anakanda, baginda berjaya melakar keredhaan Allah yang kemudiannya, menjadi sunat sembelihan korban kepada generasi kemudian.
Untuk melihat dengan lebih jelas bagaimana sifat kebaikan, Nabi Ibrahim a.s. dan keberkesanan pendidikan Nabi Ismail a.s. dalam menghadapi cabaran dan perintah Allah itu, marilah kita renung beberapa ayat mengenai pengorbanan agung ini dalam surah As-Shaffat untuk dijadikan ibrah dan pengajaran terutama dalam pendidikan anak-anak. Sebagai contoh, ayat 102 dalam surah tersebut, memberi pengajaran kepada kita bahawa bapa yang mempunyai ciri-ciri kebaikan lagi penyayang akan sentiasa menghormati dan menghargai anak-anaknya dengan –
- Mendapatkan pandangan anak-anak mengenai keputusan yang diambil dan melibatkan mereka. Dengan ini anak itu merasa dihargai dan bersedia memberi pandangan atau saranan serta bersedia memikul tanggungjawab kerana merasa diri berperanan dalam membuat keputusan.
- Bapa yang baik sentiasa berterus-terang dan sering berbincang agar anak-anak dapat memahami mesej pendidikan yang ini disampaikan.
- Bapa yang penyayang sentiasa memanggil anak-anak dengan panggilan yang menggambarkan kasih-sayang, seperti ungkapan yang digunakan oleh Nabi Ibrahim a.s. (Wahai anak kesayanganku!)
Didik Anak Dengan Keimanan dan Kasih Sayang
Hayatilah firman Allah s.w.t. dalam surah As-Saffat, ayat 102 yang bermaksud, “Maka ketika anaknya itu sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata : Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pandanganmu? Anaknya menjawab : Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insha Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.” Ayat 102 itu juga menyerlahkan sifat ketaatan yang tidak berbelah-bagi seorang anak yang soleh, malah sedia mematuhi perintah yang lebih berat lagi, supaya dengan itu, hati ayat tidak ragu-ragu melaksanakan perintah Allah. Tadaburkanlah ungkapan jawapan Nabi Ismail a.s. yang bermaksud, “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu.”
Respon positifi Nabi Ismail a.s. sebagai seorang anak remaja yang berumur 13 tahun terhadap persoalan bapanya itu, iaitu “Insha Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”, memberikan iktibar, bahawa anak-anak perlu ditanam keimanan yang mendalam kepada Allah. Disemaikan sifat sabar dan sikap bersandar kepada Allah, kerana menyedari bahawa apa jua yang dirancang dan berlaku tidak terlepas daripada kehendak Allah.
Anak-anak perlu dididik supaya berani memberi pandangan atau saranan agar pelaksanaan sesuatu yang seriusnya menjadi lebih lancar. Diriwayatkan bahawa Nabi Ismail a.s. telah mencadangkan agar wajah beliau dihadapkan ke tanah supaya ayahandanya tidak dapat melihat kesakitan di wajahnya semasa disembelih, hingga boleh mengubah pendirian baginda. Nabi Ismail a.s. juga memohon ayahandanya menajamkan pisau dan melalukan pisau tajam di lehernya dengan pantas supaya tidak ketara kesakitannya pada pandangan ayahandanya. Selain itu, Nabi Ismail memohon supaya bajunya ditanggalkan agar tidak terdapat kesan darah, kerana baju itu akan dipersembahkan kepada bondanya Siti Hajar. Dia tidak mahu bondanya terlalu bersedih dan tertekan melihat limpahan darah di baju itu.
Kaedah Pendidikan Anak-anak
Akhirnya, selain daripada sunat sembelihan korban sebagai ibadah dan mengenang kisah pengorbanan suci Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s., dapat buat beberapa rumusan, terutama dari sudut sifat kebaikan dan kaedah pendidikan anak-anak, seperti berikut :-
- Ibu bapa mesti mempunyai sifat-sifat keibubapaan seperti penyayang, sabar, tegas dan sentiasa berbincang dengan anak-anak dalam urusan yang melibatkan diri mereka.
- Akidah atau kepercayaan kepada rukun iman, adalah asas pendidikan terpenting dan terawal. Dengan itu anak-anak lebih mudah menerima tanggungjawab sebagai hamba Allah.
- Anak-anak perlu diasuh supaya beradab dan sentiasa membawa kegembiraan dan mendapat keredhaan kedua orang tua mereka.
- Anak-anak hendaklah dididik supaya mengasihi dan mentaati Allah melebihi segala kasih sayang dan ketaatan.
Allah s.w.t. berfirman dalam surah As-Saffat, ayat 103-108, yang bermaksud, “Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim, dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), serta kami menyerunya, : “Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu.” Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian.”
[Petikan khutbah Jumaat di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 16 September 2016]