Pada 23 Mei 2016, YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah merasmikan program Minggu Lautan Sedunia 2016 (WOW) selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Ijtimak Pondok Malaysia di Dewan Sultan Mizan, UMT. Program ini dianjurkan sempena sambutan Hari Laut Sedunia yang diraikan secara global pada 8 Jun setiap tahun.
Timbalan Pengarah, Institut Oseanografi dan Sekitaran UMT, Prof. Dr. Wan Izatul Asma Wan Talaat berkata tema Hari Lautan Sedunia pada tahun ini ialah ‘Laut Sihat, Planet Sihat’ dan sebanyak 24 aktiviti dianjurkan oleh UMT bermula 12 Mei lalu sehingga 8 Jun ini, bagi memberi kesedaran mengenai peranan dan kepentingan laut kepada manusia. Katanya lagi, pameran WOW UMT 2016 itu turut disertai Alam Sekitar Malaysia Sdn Bhd (ASMA), Bahagian Direkorat Oseanografi Kebangsaan (NOD) MOSTI, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT serta beberapa institut penyelidikan lain yang turut mempamerkan kepakaran dimiliki bagi tujuan penyelidikan berkaitan kelautan. Menurut beliau, Perdana Menteri telah diperkenalkan dengan peralatan ‘Wave Glider’ yang digunakan bagi pengumpulan data fizikal lautan seperti ombak, arus dan suhu bagi tujuan penyelidikan semasa pameran berkenaan.
‘Wave Glider’ merupakan projek usaha sama antara INOS UMT dan ASMA, yang mana UMT adalah universiti pertama seumpamanya di Malaysia menggunakan peralatan tersebut yang menggunakan teknologi satelit,’ ujarnya.
Katanya juga, penganjuran program tersebut merupakan salah satu tanggungjawab sosial UMT bagi meningkatkan kesedaran mencintai alam sekitar marin di kalangan warga UMT dan komuniti setempat.