UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

MPP perlu mainkan peranan bersama membangunkan mahasiswa berdaya saing, kreatif, inovatif dan profesional

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di UMT perlu memainkan peranan bersama dengan pihak Universiti bagi membangunkan mahasiswa yang berdaya saing, kreatif, inovatif dan profesional. Malah MPP perlu sentiasa menyokong pelaksanaan pelbagai program yang dianjurkan oleh Universiti untuk meningkatkan kualiti akademik, sosial, dan kebudayaan pelajar. Saranan ini telah disampaikan oleh Encik Akmal Zharif Ahmad Kamal, Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan Tinggi dalam Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan MPP UMT di Petaling Jaya, Selangor pada 2 Disember 2024.

Menurut beliau lagi, MPP bukan sahaja mewakili suara pelajar, tetapi juga perlu memastikan bahawa kepimpinan yang ditunjukkan berlandaskan etika dan integriti yang tinggi. MPP juga perlu mencari peluang kerjasama dengan pihak universiti, kementerian, dan komuniti luar untuk mewujudkan inisiatif dan program yang memberi kesan positif kepada mahasiswa dan masyarakat secara keseluruhan.

Selain itu, beliau juga berharap MPP akan sentiasa melibatkan diri dalam proses transformasi pendidikan tinggi negara dengan mengusulkan idea-idea kreatif yang membawa penyelesaian kepada isu-isu semasa dan relevan.

Turut hadir Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain.