Lebih 4,000 pelajar UMT dan UniSZA hadiri program ‘In Person With Doc Zam’
Seramai lebih 4,000 orang pelajar UMT dan UniSZA hadir memeriahkan program ‘In Person With Doc Zam’ yang diadakan di Dewan Sultan Mizan UMT pada 3 Oktober 2024. Dalam program tersebut, Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pelajar seharusnya menggunakan masa dan ruang yang ada di kampus Universiti untuk belajar membina hubungan dengan ilmu dan masyarakat terutamanya pelajar-pelajar yang ‘introvert’ kerana kehidupan di kampus sangat berharga.
Menurut beliau lagi, pelajar tidak harus mensia-siakan tempoh pengajian di Universiti. Walaupun pelajar berpersatuan, tanggungjawab utama untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik tidak harus dilupakan. ‘Introvert’ adalah mereka yang bersifat suka memendam rasa dan menumpukan perhatian pada diri sendiri, tidak suka bergaul dengan masyarakat atau dunia luar.
Menurut Dr Zambry lagi, beliau semasa remaja juga seorang yang tiada keberanian dan ‘takut-takut’, tetapi berubah ketika bersekolah menengah dan memasuki universiti. Jelas beliau, kampus adalah tempat menuntut ilmu dan juga sebagai tempat membina hubungan dengan masyarakat.
“Ambil ruang dan peluang sebaiknya untuk terlibat dengan organisasi dan berpersatuan. Ini yang selalu saya sebutkan, kita mahu melahirkan graduan yang mempunyai pakej ‘otak dan watak’. Jadilah manusiawi yang cemerlang akademik dan pada masa sama mempunyai jati diri,” katanya.