Kesatuan dan kebersamaan kunci utama kecemerlangan UMT
Hash tag baru #KebersamaanUMT atau #togethernessUMT telah dilancarkan oleh Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dalam Perhimpunan Warga UMT : Aspirasi Naib Canselor yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan UMT pada 14 Ogos 2024. Pelancaran hash tag baru ini mencerminkan kesatuan dan kebersamaan warga UMT dalam memberikan pendidikan tinggi yang berkualiti demi memastikan UMT terus maju ke puncak jaya.
Dalam ucapan di perhimpunan tersebut, Prof. Ts Dr Mohd Zamri turut menggariskan beberapa aspirasi untuk dilaksanakan oleh warga UMT antaranya ialah meningkatkan penghayatan amalan nilai-nilai teras UMT dan nilai-nilai integriti yang utuh semasa melaksanakan tugas. Selain itu, beliau turut mengharap warga UMT sentiasa bersatu padu dan memupuk ciri-ciri kebersamaan untuk menjayakan semua perancangan strategik UMT. Malah, bersempena dengan bulan kemerdekaan, warga UMT juga diminta untuk menyemarakkan semangat “Jiwa Merdeka” dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang di semua bangunan dan pejabat UMT.
Menurut beliau lagi, UMT akan meneruskan pelaksanaan agenda dan pelan tindakan yang telah digariskan dalam Hala Tuju KPT 2024 dan Pelan Strategik UMT 2023-2027. Pelaksanaan agenda dan pelan tindakan ini penting bagi memastikan kelangsungan UMT untuk menjadi Universiti berfokus marin terunggul dalam negara dan disegani di peringkat global.
Di samping itu, beliau turut memaklumkan UMT telah menubuhkan Pusat Ekonomi Biru (UMT BEACON) untuk menyokong inisiatif Kerajaan dalam membangunkan sektor ekonomi biru yang sememangnya selari dengan bidang tujahan UMT iaitu “Ilmu Kelautan dan Sumber Akuatik”. Dengan penubuhan UMT BEACON, UMT bersedia untuk berkongsi kepakaran untuk meningkatkan kesedaran rakyat dan industri tentang kepentingan Ekonomi Biru untuk pembangunan Negara. Oleh itu, UMT akan menganjurkan program Perbincangan Meja Bulat berkaitan Ekonomi Biru pada bulan September 2024 yang akan disertai oleh pemegang taruh, industri dan ahli akademik. Perbincangan ini akan memberikan tumpuan untuk mengenalpasti isu dan cabaran serta cadangan resolusi dalam memperkasakan Ekonomi Biru di Malaysia.