UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Hubungan Kerjasama UMT dengan British Library Diperkukuhkan

UMT memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama dalam penyelidikan Manuskrip Al-Quran Terengganu dengan mengadakan program lawatan kerja Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir ke dengan British Library London pada 21 Mei 2024. Turut hadir adalah Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Profesor Dr. Mohamad Salmi Mohd Sohod, dan Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMT.

Sejak tahun 2018, UMT telah menjalankan penyelidikan manuskrip Al-Quran terutamanya Manuskrip Al-Quran Terengganu yang diakui paling indah di Asia Tenggara. British Library merupakan perpustakaan terbesar di dunia yang menempatkan lebih daripada 150 juta bahan dari banyak negara. Koleksi di British Library termasuklah kira-kira 14 juta buah buku, bersama-sama dengan pelbagai manuskrip dan barang-barang sejarah sejak 2000 SM.

Dalam sesi lawatan kerja ini, delegasi Menteri Pendidikan Tinggi dan pihak pengurusan UMT telah diberikan penerangan tentang penyelidikan manuskrip Al-Quran serta aktiviti kerjasama UMT dengan British Library yang disampaikan oleh Dato’ Dr. Annabel Teh Gallop, Ketua Kurator Koleksi Asia Tenggara British Library. Beliau juga merupakan penerima Ijazah Kehormat Doktor Kemanusiaan UMT malah sangat pakar dalam dunia pengkajian manuskrip Melayu dan sangat fasih bercakap Bahasa Melayu.

Inisiatif kerjasama strategik UMT dan British Library telah merekodkan 55 manuskrip Al-Quran yang berada di empat buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Qatar. Usaha penyelidikan dan konservasi manuskrip Al-Quran ini turut disokong oleh Ericsson, sebuah syarikat gergasi telco dari Sweden bagi membangunkan Galeri Digital Warisan Budaya di Masjid UMT. Hasilnya, UMT telah berjaya mendigitalkan enam Manuskrip al-Quran Terengganu dengan menggunakan teknologi realiti terimbuh (Augmented Reality). Selain itu, hasil kerjasama UMT dengan Digital Nasional Berhad (DNB), UMT merupakan satu-satunya Universiti Awam di Malaysia yang mempamerkan inisiatif penyelidikan Manuskrip Al-Quran versi AR dalam Portal My5G di Menara Exchange 106, Tun Razak Exchange (TRX) Kuala Lumpur.