UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Hadirkan Dirimu Dalam Majlis Ilmu

Ilmu pengetahuan agama adalah sangat penting bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia di dunia dan di akhirat. Ayat pertama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW ialah perintah supaya mencari ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT dalam surah Al-Alaq ayat 1 hingga 5 yang bermaksud, “Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang amat pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Ayat-ayat tersebut menunjukkan bahawa ilmu yang wajib dipelajari ialah ilmu yang mendorong kepada mentauhidkan Allah, mendekatkan diri dan mematuhi syariat. Ilmu-ilmu tersebut terbahagi kepada dua bahagian iaitu ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah. Ilmu fardu ain ialah ilmu yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim untuk mempelajarinya, sesiapa yang tidak mempelajarinya akan menanggung dosa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “menuntut ilmu adalah fardu ain ke atas setiap orang Islam lelaki dan perempuan.” (HR Muslim)

Ilmu fardu ain terbahagi kepada tiga bahagian utama seperti berikut :-

Pertama : ilmu akidah atau ilmu tauhid, iaitu ilmu yang berkaitan dengan kepercayaan kepada Allah, malaikat, kitab, para rasul, hari kiamat dan qada dan qadar, sebagaimana yang terkandung dalam rukun iman yang enam.

Kedua : ilmu syariat atau ilmu fekah iaitu ilmu yang berkaitan dengan ibadah, muamalat, munakahat dan jenayah yang boleh mendatangkan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Ketiga : ilmu akhlak atau ilmu tasawuf, iaitu ilmu yang berkaitan dengan pembersihan hati, pembentukan peribadi atau akhlak yang mulia, yang merangkumi sifat benar, amanah, ikhlas, bersopan-santun, berdisiplin, menjaga masa dan sebagainya.

Ilmu fardu kifayah pula ialah ilmu yang wajib dikuasai oleh sebahagian umat Islam yang memenuhi syarat untuk menegakkan urusan umat Islam di dalam kehidupan dunia ini. Ini merangkumi ilmu agama seperti ilmu tafsir al-Quran hadis, fekah dan sebagainya, atau ilmu duniawi seperti ilmu perubatan, pertanian, politik, teknologi, ekonomi, sains dan sebagainya.

Hadirkan dirimu dalam majlis ilmu, kerana mempelajari ilmu merupakan perkara yang dituntut sepanjang hayat, tidak ada istilah terlambat, selagi hayat dikandung badan. Oleh itu, setiap orang Islam wajib berusaha mempelajari ilmu, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, sekurang-kurangnya sekadar mengesahkan akidah dan ibadatnya serta mengetahui yang mana halal dan yang mana haram, bagi memastikan segala urusan hidup yang dijalankan adalah menepati hukum syarak dan diredhai Allah SWT.

Hadirkan dirimu dalam majlis ilmu sama ada di masjid, surau atau sebagainya kerana orang yang menghadiri majlis ilmu ini akan memperoleh banyak kelebihan yang disediakan oleh Allah, antaranya :-

Pertama : dipermudahkan jalan ke syurga. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang menempuhi satu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan mempermudahkannya jalan ke syurga.” (HR Muslim)

Kedua : dimuliakan oleh para malaikat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Dan sesungguhnya malaikat merendahkan sayapnya bagi penuntut ilmu kerana redha dengan apa yang dilakukannya.” (HR Tirmizi)

Ketiga : lebih baik daripada melakukan solat sunat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, perginya kamu mempelajari satu bab daripada ilmu itu lebih baik daripada kamu sembahyang sunat seratus rakaat.” (HR Ibnu Majah)

Keempat : penerima wasiat Rasulullah SAW. Sabda Baginda yang bermaksud, “Akan datang kepada kamu beberapa kaum yang menuntut ilmu, oleh itu apabila kamu melihat mereka maka katakanlah kepada mereka : selamat datang kepada penerima wasiat Rasulullah SAW dan ajarkanlah kami.”

Kelima : semua makhluk memohon keampunan baginya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Orang yang mempunyai ilmu itu tiap-tiap sesuatu meminta keampunan untuknya sehingga ikan dalam laut.” (HR Abu Ya’la bersanad sahih)

Sehubungan dengan itu, khatib menyeru agar makmum sekalian menghadirkan diri dalam majlis ilmu, kerana orang yang menghadiri majlis ilmu selain dapat mencapai kelebihan yang telah disebut, ia juga dapat menambah pengetahuan yang belum diketahui, dapat mengingati pengetahuan yang sudah dilupai dan dapat menimbulkan kesedaran dan keinsafan bagi memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 13 April 2018]