Kejadian fenomena air pasang-surut merupakan lumrah alam ciptaan Allah s.w.t. Kejadian pasang-surut juga dikenali sebagai naik turun paras air laut yang berpunca dari tarikan graviti bulan, matahari serta putaran bumi. Faktor kedudukan bulan dan matahari dengan bumi serta putaran bumi mempengaruhi naik turun paras air laut setiap hari. Ada sesetengah tempat mengalami air pasang-surut sebanyak dua kali sehari dan ada sesetengah tempat mengalami air pasang-surut sekali sahaja sehari. Pantai dan muara sungai merupakan tempat berlaku kejadian air pasang-surut. Ketika air pasang, paras laut meningkat ke hulu sungai sehingga 10 kilometer. Ketika air surut, paras laut menurun sehingga pinggir air jauh ke tengah laut. Mana-mana bahagian bumi yang berhadapan dengan bulan akan mengalami air pasang. Ini menyebabkan graviti yang menarik air laut ke atas. Graviti matahari turut mempengaruhi air pasang, tetapi disebabkan jarak bumi dan matahari lebih jauh, kesannya lebih kecil.
Walau bagaimanapun, jika kedudukan bulan dan matahari selari, iaitu ketika bulan penuh dan anak bulan, air pasang akan lebih tinggi. Fenomena yang berlaku setiap 2 minggu ini dikenali sebagai ‘spring tide’. Namun, timbul persoalan yang mengatakan fenomena ini akan mencetuskan bencana yang lebih besar. Persoalan ini mempunyai kesahihannya kerana kesan tarikan graviti yang lebih kuat ekoran jajaran bumi dan bulan yang dekat. Akibatnya paras air laut akan dijangka meningkat dan air pasang besar akan berlaku.
Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir, Pensyarah Institut Oseanografi dan Sekitaran UMT, fenomena air pasang besar yang berlaku di beberapa negeri pantai barat Semenanjung Malaysia sejak 19 September 2016 yang lalu adalah akibat kesan tarikan graviti bulan dengan bumi iaitu ketika bulan berada selari dengan bumi pada kedudukan orbit atau ketika bulan mengambang penuh. Fenomena ini disifatkan sebagai perkara biasa dan ia berlaku pada setiap bulan, namun dengan keadaan cuaca angin kencang dan hujan lebat yang berlaku serentak, ia boleh menyebabkan berlakunya banjir di kawasan-kawasan tertentu.
Selain itu, menurut beliau, berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh UMT, sejak 10 tahun kebelakangan ini, akibat peningkatan paras air laut serta perubahan iklim dunia yang tidak menentu, fenomena air pasang besar sehingga menyebabkan banjir dijangka akan berlaku dengan lebih kerap dan keadaan ini memerlukan perhatian dan tindakan pihak berkuasa serta penduduk yang tinggal di sepanjang pantai Malaysia. Beliau juga mencadangkan agar pihak Kerajaan membuat persediaan menghadapi fenomena ini termasuklah menambahbaik sistem pengawasan air pasang-surut dan memberi amaran awal kepada penduduk yang terdedah kepada fenomena tersebut.
Pemanasan global juga dilihat sebagai salah satu faktor yang menyebabkan berlakunya fenomena air pasang besar. Ini menyebabkan peningkatan paras air laut dan keadaan bentuk muka bumi yang rendah yang kebanyakannya berada di kawasan pesisiran pantai menyebabkan air laut melimpah ke daratan. Menurut Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, kajian menunjukkan peningkatan karbon dioksida (CO2) sebanyak 450 bahagian dalam setiap sejuta (ppm) sudah memadai untuk mencairkan ais di kawasan Kutub Utara. Pemanasan global boleh mencecah kira-kira 560ppm menjelang tahun 2100. Keadaan ini mampu meningkatkan paras air laut kira-kira 25 meter. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa pembuangan sisa industri yang tidak dikawal dan pertambahan penduduk manusia menjadi salah satu punca pemanasan global. Oleh itu, antara langkah terbaik untuk memperlahankan pencairan ais adalah dengan mengawal aktiviti-aktiviti yang menyebabkan pemanasan global.
Justeru, marilah sama-sama kita berganding bahu menjaga dan memulihara alam sekitar seperti hutan hujan sama ada hutan simpan atau hutan pokok bakau di sepanjang pantai kerana ia mampu mewujudkan keseimbangan ekologi yang dapat mengimbangi pemanasan global. Fenomena air pasang besar merupakan satu petanda bahawa bumi sedang ‘kesakitan’ akibat kerakusan manusia meratah sumber demi pembangunan sehingga alpa mengenai tanggungjawab memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Ar-Rum, ayat 41 yang bermaksud, “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak mereka merasakan sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”