UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Erti Pengorbanan

 Lembu2

Alhamdulillah dengan nikmat kesihatan, harta dan keamanan, ketika ini jutaan muslimin dan muslimat yang datang dari segenap penjuru alam menjadi tetamu Allah sedang berkumpul di Mekah. Mereka hadir dengan penuh ketakwaan menunaikan ibadah haji, iaitu rukun Islam yang kelima. Kita mendoakan semoga para jemaah dapat mengerjakan haji dengan sempurna serta memperoleh haji yang mabrur dan seterusnya pulang ke tanahair dengan selamat. Allah.s.w.t. berfirman dalam surah Al-Haj, ayat 27, yang bermaksud, “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke rumah Tuhanmu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan dan ceruk rantau yang jauh.”

Berkorban Kerana Allah

Allah s.w.t. telah melimpahkan nikmat yang tidak terhingga banyaknya kepada manusia. Zuriat keturunan, harta kekayaan, kesihatan tubuh badan, pangkat kedudukan adalah sebahagian daripada nikmat-nikmat Allah s.w.t. Sesetengah manusia diberikan kelebihan oleh Allah s.w.t. dengan pelbagai kurniaan. Ada yang kaya-raya dan ada pula yang berkuasa. Ingatlah bahawa segala yang dikurniakan itu adalah ujian bagi manusia dalam kehidupannya. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al-Anfal, ayat 28, yang bermaksud, “Dan ketahuilah bahawasanya harta kekayaanmu dan anak-anakmu adalah fitnah (ujian) dan sesungguhnya Allah s.w.t. mempunyai pahala yang besar.”

Dalam semua keadaan, umat Islam sememangnya dituntut berkorban apa sahaja demi Islam. Berkorban adalah satu proses mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dan merapatkan jurang hubungan antara masyarakat. Aidil Adha mengajar kita berkorban segala kenikmatan hidup, sama ada harta, masa, tenaga, mahupun jiwa raga demi melaksanakan perintah Allah s.w.t. Dalam melaksanakan ibadah haji, umat Islam perlu berkorban membelanjakan harta, meninggalkan tanahair dan keluarga, seterusnya menghadapi kesulitan dan kepayahan ketika melaksanakan ibadah haji dan memerlukan kesabaran.

Keikhlasan Dalam Pengorbanan

Aidil Adha juga membawa kita mengenang kembali kisah pengorbanan dan kesabaran Nabi Ibrahim a.s. serta putera kesayangan baginda Nabi Ismail a.s., dalam menjunjung perintah Allah s.w.t. Kesanggupan Nabi Ibrahim a.s. untuk menyembelih Nabi Ismail a.s., ketika usia baginda yang agak lanjut, adalah bukti ketaatan kepada perintah Allah s.w.t. Oleh itu, pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ini adalah satu pengorbanan yang agung. Sebagai mencontohi pengorbanan baginda berdua, Islam menganjurkan agar umatnya menyembelih binatang ternakan pada hari raya korban dan hari-hari tasyrik. Ibadah korban merupakan simbol ketaatan kita kepada Allah s.w.t. melebihi kecintaan kita terhadap harta yang kita miliki. Menyembelih haiwan korban dan mengagihkan dagingnya adalah satu amalan yang terpuji, bahkan yang lebih penting adalah nilai takwa disebalik pengorbanan itu. Allah s.w.t. berfirman dalam surat Al-Haj, ayat 37, yang bermaksud, “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu mengagungkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampiakan berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya( kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.”

Mengapa Allah s.w.t. tidak memperhitungkan amalan dan bentuk lahiriah kita? Tidak lain adalah kerana amalan dan bentuk lahiriah mungkin sahaja palsu, tidak sejati dan tidak mencerminkan hati kita. Amalan-amalan dalam ibadah haji dan melakukan penyembelihan korban akan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t., sekiranya amalan tersebut lahir dari keikhlasan dan kejujuran hati kita. Amalan yang lahir dari hati dan niat yang jujur akan berterusan dan akan menjadi budaya dalam setiap gerak kerja kita.

Korban Tanda Besyukur

Sebagai kesimpulannya –

  • Aidil Adha adalah satu proses untuk menghakis sifat tamak, kedekut dan mementingkan diri sendiri.
  • Ibadah korban adalah lambang kesyukuran di atas nikmat kurniaan Allah yang melimpah-ruah untuk dikongsi bersama.
  • Ibadah korban mengeratkan hubungan persaudaraan sesama muslim serta memupuk semangat perpaduan yang tinggi.
  • Ibadah korban juga memperteguhkan hati, jiwa dan diri kita untuk istiqamah dalam melaksanakan segala tanggungjawab keagamaan dan kemasyarakatan.
  • Ibadah korban perlu dilaksanakan dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

Allah .s.w.t. berfirman dalam surah Al-Takasur, yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepada mu (wahai Muhammad), kebaikan yang banyak di dunia dan di akhirat. Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban sebagai tanda bersyukur.”

[Petikan khutbah Aidil Adha Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 12 September 2016]