Bertakwalah kepada Allah, berdakwah dan anjurkan kepada perkara yang makruf dan cegahlah daripada perkara atau perbuatan mungkar dengan bersungguh-sungguh dan sedaya upaya saudara. Salah satu kewajipan orang Islam ialah berdakwah mengajak manusia mendekati, mengamal dan menghayati ajaran agama Islam. Dakwah itu berlaku sama ada secara langsung atau tidak langsung, dengan pengucapan atau amalan. Justeru, khutbah Jumaat pada hari ini akan memperkatakan tentang tajuk “Dakwah Tanpa Pengucapan”.
Berdakwah merupakan satu kewajipan kepada setiap orang Islam, sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Imran, ayat 104, yang bermaksud, “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyeru berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya.” Salah satu pendekatan dakwah berkesan ialah “Dakwah bil-Hal” iaitu menarik orang yang didampingi atau ditemui kepada keindahan Islam, melalui muamalat, amalan, budaya dan akhlak Islamiyah. Inilah pendekatan dakwah yang dimafhumkan daripada firman Allah s.w.t. dalam surah Fussilat, ayat 33, yang bermaksud, “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan beramal soleh, sambil berkata, Sesungguhnya aku daripada orang Islam.”
“Dakwah bil-Hal” atau dakwah tanpa pengucapan, sangat penting dipraktikkan oleh setiap Muslim. Mahu atau tidak, seseorang itu bertanggungjawab menawan hati orang yang didampingi atau ditemui melalui muamalat yang Islamiyah. Tidak semua orang berilmu dan boleh berdakwah dengan lisan seperti berceramah, memberi kuliah atau berforum. Tetapi mereka tidak mempunyai masalah mempamerkan kebaikan dan keindahan Islam melalui komunikasi, pergaulan, akhlak yang baik dan kerjaya masing-masing.
Dengan menjadikan keunggulan dan kejituan nilai Islam sebagai teras gerak kerja dan aktiviti kehidupan, sudah pasti seorang Muslim itu mampu menarik perhatian dan minat orang kepada ajaran Islam. Tidak dinafikan bahawa sahsiah, adab dan sifat-sifat Islam yang ada pada diri seseorang itu berupaya mempengaruhi pihak yang berkaitan untuk mendekati dan turut terpanggil menghayatinya. Terdapat banyak peristiwa orang bukan Islam memeluk Islam kerana tertawan kepada amalan dan akhlak Islam yang dizahirkan secara berterusan oleh Muslim yang didampinginya.
Baginda s.a.w. sendiri sangat prihatin kepada pendekatan “Dakwal bil- Hal” ini. Sebagai contoh baginda turun padang mengambil inisiatif mengumpul kayu api untuk memasak semasa peperangan Badr. Tindakan baginda ini sangat mengujakan para pejuang dan menjadikan mereka lebih yakin dan bersemangat untuk berjuang. Dalam satu peristiwa lain, sikap memaafkan dan tindakan membebaskan orang yang menghunuskan senjata untuk membunuh baginda, menyebabkan orang itu insaf dan bersama keluarganya memeluk Islam.
Dakwah dengan pengucapan memerlukan ilmu, kaedah dan kemahiran tertentu, sedangkan “Dakwah bil-Hal” lebih memerlukan kepada kemantapan sahsiah, akhlak, amalan dan gerak kerja yang Islamiyah. Pendekatan ini boleh dilakukan oleh setiap Muslim. “Dakwah bil-Hal” lebih mudah difahami oleh orang yang didekati atau ditemui. Malah keindahan Islam dapat ditonton oleh khalayak, walaupun mereka tidak menjadi sasaran dakwah secara langsung. Justeru, daripada satu sudut, kesannya lebih mendalam berbanding dengan ceramah dakwah yang bersemangat, kerana biasanya peratus apa yang dapat dikutip atau melekat pada minda khalayak tidak sebagaimana yang diharapkan oleh si penceramah atau penganjur.
Sebagai Muslim yang cintakan Islam, perlu menjadikan dirinya sebagai pendakwah secara tidak langsung atau pendakwah tanpa pengucapan. Sikap ini perlu juga dihayati oleh pendakwah dengan lisan atau penceramah dan penulis. Para pendakwah secara langsung ini, lebih-lebih lagi dituntut mempamerkan keagungan Islam seperti yang diutarakan dalam ceramah, kuliah atau karya mereka. Firman Allah s.w.t. dalam surah As-Saff, ayat 2 dan 3, yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya? Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukannya.”
Sehubungan dengan itu, bagi menjadikan diri saudara pendakwah tanpa pengucapan yang berkesan, berikut ini diperturunkan beberapa panduan :-
Pertama : Keimanan dan keyakinan hendaklah benar-benar mendalam dan mantap. Ini menjadikan diri anda benar-benar ikhlas, serius dan bertanggungjawab dalam menghayati ajaran Islam.
Kedua : Amalan dan akhlak Islam hendaklah menjadi keutamaan dan diperkasakan. Pastikan pegangan dan kewajipan Islam tidak menjadi pudar disebabkan mendampingi orang bukan Islam dan mereka yang meremeh atau tidak mengenali ajaran Islam.
Ketiga : Membudayakan ciri-ciri Muslim sejati seperti suka menolong, bermuka manis, pemaaf, bersopan, berbudi bahasa, lemah lembut, pengasih, penyabar, tidak membesar diri, benar, amanah, setia pada janji, cakna dan sebagainya lagi. Sifat-sifat ini bukan sahaja menyenangkan orang yang didampingi malah mampu menarik mereka untuk lebih menghormati dan mengkagumi keindahan Islam.
Keempat : Jadikan diri sebagai ‘qudwah’ atau ikutan yang baik kepada orang yang didampingi, terutama dari segi budaya kerja yang rajin, tekun, cekap, amanah, berkualiti, berdisiplin, tanpa bertangguh dan memudahkan urusan.
Kelima : Pastikan diri sebagai Muslim yang benar-benar istiqamah kepada ajaran Islam dan merupakan orang yang paling kedepan dan berjaya dalam setiap bidang kehidupan seperti keilmuan, pendidikan, ekonomi, pengurusan dan kerjaya.
Keenam : Suburkan budaya hormat-menghormati dan jangan mencela agama lain.
Marilah kita memastikan diri kita menjadi Muslim sejati, Muslim yang beriman dengan ikhlas dan sepenuh keyakinan, beramal soleh, mengerjakan kebaikan, berakhlak mulia dan berdaya maju. Mudah-mudahan dengan itu, kita mendapat keredhaan Allah dan dalam masa yang sama mengambil pendekatan berkesan dalam aspek “Dakwah bil-Hal” atau dakwah tanpa pengucapan.
[Petikan khutbah Jumaat Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 21 Oktober 2016]