Pada 3 September 2015, YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Razif bin Abdul Rahman telah menyampaikan Bicara Tokoh bertajuk “Mahasiswa Aset Negara” di Dewan Sultan Mizan UMT. Program ini diadakan sempena program Minggu Jalinan Mesra Pelajar Baharu UMT Sesi 2015/2016 dan seramai 2,348 orang pelajar baharu telah mengikutinya. Turut hadir ialah Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar dan pegawai-pegawai kanan UMT.
Dalam bicara tersebut, YAB Menteri Besar Terengganu meminta pelajar bersyukur kerana dapat melanjutkan pengajian di UMT memandangkan jumlah permohonan yang banyak setiap kali sesi pengambilan. Para pelajar tidak perlu merasa rendah diri kerana menyambung pengajian dalam negara tetapi harus berbangga dan berusaha dengan lebih gigih untuk membuktikan keupayaan diri dalam pelajaran. Konsep ‘berbulan madu’ harus dibuang malah pelajar harus memulakan usaha dengan memberikan tumpuan yang tinggi terhadap pelajaran. Pelajar juga harus berusaha untuk menjadi individu yang cemerlang agar UMT lebih disegani dan dihormati di peringkat nasional dan antarabangsa. Oleh itu, pelajar perlu berdamping dengan pensyarah dan pelajar senior kerana ia merupakan cara yang terbaik untuk mendapat ilmu pengetahuan.
Melihat kepada situasi ekonomi sekarang, beliau meminta pelajar mempelajari ilmu keusahawanan dan tidak bergantung harap untuk bekerja dengan kerajaan semata-mata. Malah, jumlah graduan yang semakin meningkat saban tahun berbanding dengan jumlah kekosongan pekerjaan memerlukan pelajar lebih berdikari, berdaya saing dan berdaya tahan. Pelajar juga dinasihatkan untuk mengikuti aktiviti-aktiviti lain yang boleh mengasah bakat dan kemahiran insaniah kerana ia boleh menjadi ‘nilai tambah’ kepada pelajar selepas bergraduat nanti. Tambahan pula, pelajar merupakan aset penting kepada negara. Negara amat memerlukan rakyat yang berpendidikan tinggi dan pemimpin muda yang berwawasan untuk menggerakkan negara ke arah ketamadunan yang mulia.
Di akhir bicara, beliau meminta para pelajar tidak melupakan pengorbanan ibu bapa dan keluarga yang sentiasa menyokong dan mendoakan kejayaan para pelajar. Para pelajar diminta untuk tidak menyertai aktiviti-aktiviti yang tidak bermanfaat, malah pelajar harus menggunakan kepakaran dan kemudahan yang terdapat di UMT untuk kebaikan diri sendiri.
Disediakan oleh :-
Abdullah Syukri bin M. Saleh,
Ketua Pentadbiran Canselori
8 September 2015
Foto : Team Media Kreatif, PKKPC