CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Bengkel Hala Tuju Pusat Pengajian Dan Institut Penyelidikan

nms_3640-1

Sesebuah pusat pengajian dan institut penyelidikan merupakan entiti yang amat penting di dalam sesebuah universiti. Kecemerlangan dan keunggulan sesebuah pusat pengajian dan institut penyelidikan terletak kepada pelbagai faktor khususnya mempunyai hala tuju yang jelas dan tepat. Tanggungjawab mengemudi pusat pengajian dan institut ini terpikul di bahu para Dekan dan Pengarah yang perlu memastikan sebuah perancangan yang mantap disediakan untuk mencapai wawasan yang dicitakan.

Bagi memastikan semua pusat pengajian dan institut penyelidikan berada pada landasan yang tepat, Universiti Malaysia Terengganu melalui Pusat Transformasi, Perancangan Strategik dan Risiko (TSR) telah mengadakan sebuah retreat yang dikenali sebagai Retreat Hala Tuju Pusat Pengajian dan Institut Penyelidikan UMT. Retreat ini telah dilaksanakan pada 9-11 Oktober 2014 bertempat di Villa Danialla Beach Resort, Bachok, Kelantan dengan para peserta yang terdiri daripada Naib Canselor, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Dekan pusat pengajian dan Pengarah institut penyelidikan serta beberapa Pengarah PTj sokongan akademik dan penyelidikan.

Retreat ini juga secara tidak langsung menjadi platform kepada para Dekan dan Pengarah untuk sama-sama berbincang dan mencapai persetujuan bersama berkaitan persekitaran akademik dan penyelidikan di UMT. Melalui retreat ini, semua Dekan dan Pengarah berkongsi perancangan hala tuju pusat pengajian dan institut penyelidikan masing-masing berdasarkan beberapa komponen iaitu pelajar dan program pengajian, penyelidikan, kepimpinan bakat serta pemindahan ilmu.

Secara keseluruhan, retreat ini telah berjaya mencapai hasrat yang dicitakan apabila semua Dekan dan Pengarah telah menunjukkan semangat kepimpinan dan kebersamaan yang tinggi untuk memacu pusat pengajian dan institut penyelidikan masing-masing selari dengan hasrat UMT menjadi sebuah universiti berfokus marin terunggul dalam negara dan disegani di peringkat global.