Anugerah Ikon Siswa UMT 2024 raikan bakat mahasiswa cemerlang
UMT meneruskan tradisi meraikan bakat mahasiswa cemerlang dengan mengadakan Majlis Anugerah Ikon Siswa UMT 2024 pada 16 November 2024 di Dewan Sultan Mizan UMT. Majlis yang penuh gemilang ini dianjurkan oleh Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa (PPPM), UMT dengan tema “Mengiktiraf Bakat, Mencarta Keunggulan”. Majlis ini bukan sekadar menzahirkan penghargaan Universiti kepada mahasiswa yang terlibat dalam aktiviti di Universiti malah turut mengiktiraf pencapaian dan sumbangan luar biasa mereka dalam mengharumkan nama UMT.
Anugerah BINGKAS Timbalan Naib Canselor HEPA dianugerahkan kepada Saudari Alina A/P Pannirselvam, yang juga merupakan Pengarah Program Newcasting and Hosting Competition 2.0 dan Nautical Industry and Community Engagement 2024. Anugerah U&Me Together Naib Canselor pula dianugerahkan kepada Kelab Kebudayaan Baratham, yang telah berjaya menganjurkan program Natyamela 7.0: Aazhi The Splash of Rhythm peringkat antarabangsa serta program Lahara: The Tidal Tales of Triumph peringkat kebangsaan.
Anugerah Ikon Siswa UMT 2024 dianugerahkan kepada Saudara Muhammad Aqasha Mukris bin Zainuri yang telah menyumbang khidmat sebagai Timbalan Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman Sesi 2023/2024. Beliau juga bergiat aktif sebagai Usahawan Siswa UMT menerusi perniagaan Tentrem Jiwo iaitu kedai gunting rambut di Kolej Kediaman UMT serta merupakan Pengarah Program Misi Sejuta Harapan: JPKK Terokai Bumi Nusantara di Surabaya, Indonesia. Beliau turut mewakili UMT dalam Global Student Leadership Summit 2024 di Turki dan ini menjadikan beliau contoh teladan dalam bidang kepimpinan dan keusahawanan pelajar di peringkat global.
Semua penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi. Turut hadir Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain.