ENCIK ABDULLAH SYUKRI BIN M. SALEH telah dilahirkan di Hospital Besar Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman pada 19 Oktober 1977. Beliau berasal daripada keluarga ‘cikgu’ kerana kedua-dua ibu bapa merupakan pendidik di negeri Terengganu. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Merchang, Marang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu. Seterusnya beliau telah mendapat kelulusan ijazah Sarjana Muda Perakaunan di UUM pada tahun 2000 dan Sarjana Pengurusan (Pengurusan Am) di UPM pada tahun 2004.
Selepas menamatkan pengajian ijazah sarjana muda, beliau memulakan kerjaya di syarikat Archpac Corporation Sdn Bhd pada 1 Jun 2000 dan dilantik sebagai Eksekutif Kanan Pentadbiran dan Kewangan. Pada 2 Jun 2002, beliau telah memulakan kerjaya dalam perkhidmatan badan berkanun persekutuan iaitu di Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM) dan dilantik sebagai Penolong Pendaftar di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE). Semasa berada di FPE, beliau telah membantu dalam mengukuhkan pelaksanaan operasi pentadbiran fakulti dan operasi peperiksaan seperti sistem pengawasan, sistem penjadualan dan sistem percetakan kertas soalan.
Pada 1 Januari 2006, beliau ditukarkan ke Pejabat Pendaftar untuk mengetuai Seksyen Perjawatan yang menguruskan hal ehwal pelantikan, kenaikan pangkat, saraan dan tatatertib bagi staf akademik dan bukan akademik. Pada 11 Julai 2007, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pendaftar Kanan dan mengetuai Seksyen Perjawatan (Akademik), Pejabat Pendaftar UMT. Semasa bertugas di Pejabat Pendaftar, beliau telah mewujudkan Sistem Permohonan Jawatan Kosong UMT secara atas talian iaitu e-RecruitUMT. Selain itu, beliau juga telah membantu UMT dalam permohonan perjawatan dengan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan terlibat secara langsung dalam mengetuai pelaksanaan urusan opsyen pertukaran pelantikan staf KUSTEM kepada UMT pada tahun 2007.
Pada 16 Januari 2011, beliau telah ditukarkan ke Bahagian Perancangan Korporat, Pejabat Naib Canselor UMT bagi menguruskan Bidang Keberhasilan Utama (KRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) UMT. Beliau juga telah membantu UMT dalam menghasilkan Pelan Strategik UMT : Pelan Tindakan 2011-2015. Di samping itu, beliau juga telah membantu UMT dalam mengukuhkan kedudukan penarafan bintang dalam penghantaran data UMT ke Sistem MyMoheS KPT.
Pada 4 Jun 2012, beliau telah dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Naib Canselor UMT iaitu Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo. Kemudian, pada 3 Februari 2013, beliau telah diberi kepercayaan untuk mengetuai Canselori dengan dilantik sebagai Ketua Pentadbiran Canselori UMT yang merupakan salah satu jawatan Pegawai Kanan di UMT. Semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Pentadbiran Canselori, beliau juga pernah diberikan tanggungjawab untuk menguruskan penubuhan Pusat Komunikasi Strategik UMT di Putrajaya pada tahun 2013 dan pernah memangku tugas sebagai Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pembangunan Citra (PKKPC) UMT pada 1 Januari 2015 hingga 31 Mac 2015. Semasa berada di PKKPC, beliau telah mewujudkan Seksyen Media Kreatif yang berfungsi menghasilkan multimedia yang kreatif, gambar, video dan produksi TV atas talian bagi meningkatkan imej dan citra UMT.
Sebagai Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Universiti (MPU), UMT, beliau telah memperkenalkan penggunaan Sistem e-Meeting bagi memudahkan urusan mesyuarat pengurusan tertinggi universiti selain dapat mengurangkan penggunaan kertas dalam mesyuarat. Beliau juga telah merintis bagi mewujudkan Sistem Permohonan Ke Luar Negara secara atas talian yang dikenali sebagai e-Travel bagi memudahkan staf UMT mengemukakan permohonan untuk kelulusan ke luar negara sama ada tugas rasmi mahupun persendirian.
Selain daripada tugas hakiki sebagai Ketua Pentadbiran Canselori, beliau juga aktif dalam kegiatan persatuan dan aktiviti pelajar di UMT. Beliau dilantik sebagai Ketua Cawangan Tadbir Pasukan Askar Wataniah UMT, Penasihat Kelab Gemilang Taekwondo UMT, Presiden Kelab Canselori UMT, Felo Bersekutu Pusat Islam UMT, Ahli Persatuan Pentadbir dan Ikhtisas (PERENTAS) UMT, Ahli Institut Pengurusan Malaysia (MIM) serta telah mengetuai dan menganggotai pelbagai jawatankuasa kerja pelaksanaan program di peringkat UMT seperti Ekspedisi Saintifik UMT : Selat Melaka 2015; Dialog Bencana Banjir 2014; dan Majlis Pelancaran Buku dan Pelepasan Kuda Laut 2015. Beliau juga aktif dalam aktiviti khidmat komuniti dengan menyertai Program Cakna Asnaf Komuniti Kejiranan UMT dan Program Bakti Staf UMT Bersama Komuniti Kampung Gemuroh.
Dalam tempoh perkhidmatan selama 15 tahun di UMT, beliau mempunyai prestasi kerja yang cemerlang dan pernah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada tahun 2007 dan 2011, dan Hadiah Setia Bakti UMT pada tahun 2013.