Makassar, 7 Ogos – UMT meneruskan hubungan dan jaringan kerjasama di peringkat antarabangsa apabila memeterai semula Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Universitas Hasanuddin, Makassar, Indonesia dalam bidang penyelidikan sains marin, perikanan dan bioteknologi, program pertukaran pelajar dan staf, dan penerbitan ilmiah.
“Universitas Hasanuddin adalah salah sebuah universiti yang terkenal di Indonesia melaksanakan penyelidikan dalam bidang sains marin, perikanan dan bioteknologi. Kami meneruskan hubungan kerjasama ini yang telah terjalin sejak tahun 2014. Kami amat yakin bahawa menerusi hubungan kerjasama ini, sudah pasti dapat meningkatkan kecemerlangan dan citra UMT apabila ahli akademik, staf dan pelajar UMT dapat berkolaborasi dengan pakar-pakar yang terdapat di Universitas Hasanuddin,” kata Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar semasa berucap dalam Majlis Menandatangani MoU antara UMT dengan Universitas Hasanuddin di Pejabat Rektor Universitas Hasanuddin, Makassar, Indonesia pada hari ini.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Rektor Universitas Hasanuddin, Prof. Dr. Dwia Aries Tina Pulubuhu dan Timbalan Rektor (Penyelidikan, Inovasi dan Kerjasama) Universitas Hasanuddin, Prof. Hasrum Massi.
“Universitas Hasanuddin juga mempunyai pakar dalam bidang maritim dan oseanografi. Oleh itu, kerjasama ini sudah pasti dapat meningkatkan kecemerlangan UMT kerana mempunyai bidang penyelidikan yang sama,” katanya lagi.