Sejarah telah memaparkan bahawa hampir setiap negara, negeri, daerah malahan kampung, sentiasa akan ada seorang pemimpin. Keamanan dan kemakmuran sesebuah negeri atau negara itu terletak pada kebijaksanaan dan kehebatan pemimpinnya.
Pemimpin dalam Islam mempunyai pengertian yang amat luas. Ia meliputi ketua negara, menteri, wakil rakyat, ketua jabatan, penghulu, ketua keluarga dan sesiapa sahaja yang menguruskan orang di bawah jagaannya. Semakin luas bidang kepimpinan, maka semakin beratlah tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya.” (HR Bukhari)
Memilih dan melantik pemimpin yang baik dan amanah untuk mentadbir urusan umat Islam dan negara adalah menjadi satu kewajipan. Kepimpinan yang baik akan memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada setiap orang yang dipimpin. Tanpa ada pemimpin yang baik tidak mungkin kemuslahatan umat dapat diurus dengan baik. Pemimpin yang baik sudah tentu memiliki iltizam yang tinggi dalam memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dalam segala keputusan yang dibuat.
Inilah yang disebut sebagai pemimpin berjiwa rakyat, yang mempunyai jati diri yang kuat, semangat yang kental, serta bersedia memahami permasalahan rakyat, dengan meletakkan strategi penyelesaian yang berkesan bagi meringankan beban dan masalah rakyat. Yang lebih besar daripada itu, pemimpin hendaklah bertanggungjawab memelihara agama Islam dan berusaha menambahbaik pengurusan hal ehwal kehidupan dunia menepati kehendak Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal, ayat 27 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanah Allah SWT dan RasulNya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas kamu, sedang kamu mengetahui.”
Marilah kita menghayati kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz, ketika beliau baru dilantik menjadi khalifah, semua pembesar negeri ternanti-nanti kemunculannya di khalayak ramai dan mereka bertanya kepada anaknya, “kenapa ayahmu belum keluar untuk bertemu dengan kami?” Lalu jawab anaknya : “Sejak ayahku dilantik menjadi khalifah, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, air matanya bercucuran hingga ke janggutnya, dan apabila ibuku bertanya kepadanya, dia berkata, Wahai Fatimah, aku telah diamanahkan dengan urusan umat Muhamad ini yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Maka aku sedang memikirkan tentang nasib rakyatku yang fakir, mereka yang kelaparan, mereka yang sakit lagi menderita, orang-orang kampung yang susah, aku sedar bahawa Tuhanku akan bertanya kepada aku mengenai mereka semua pada hari kiamat kelak, tetapi aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawab setiap soalan itu, lalu aku pun menangis kerana mengenangkan nasibku di akhirat nanti.”
Demikian juga kisah ketika Khalifah Harun Ar-Rashid menaiki bukit Safa sewaktu beliau menjadi khalifah Islam, seorang tokoh ilmuwan yang terkenal pada ketika itu iaitu Abdullah bin Abdul Aziz Al-Umari telah berkata kepadanya, “lihatlah kau ke arah kaabah.” Lalu Harun Ar-Rashid menjawab, “Ya, aku sedang melihat ke arah sana.” Kata Abdullah lagi, “Berapakah jumlah manusia yang sedang engkau lihat?” Jawab Harun Ar-Rashid, “Tiada siapa yang mampu membilangnya (kerana terlalu ramai).” Lalu Abdullah berkata, “Ketahuilah engkau bahawa sesungguhnya setiap mereka itu hanya akan disoal pada hari kiamat nanti tentang diri mereka sahaja, tetapi engkau akan disoal tentang dirimu dan juga tentang diri mereka semua, maka berhati-hatilah engkau tentang nasibmu di akhirat nanti.” Mendengar kata-kata Abdullah itu maka menangislah beliau kerana mengenangkan masa depan nasibnya di akhirat kelak.
Ini bermakna menjadi pemimpin bererti seseorang itu telah memikul satu bebanan atau tanggungjawab yang amat berat dan terpaksa berhadapan dengan soal-jawab di hadapan Allah SWT di akhirat nanti. Setiap pemimpin bukan sahaja bertanggungjawab terhadap dirinya, tetapi juga akan turut disoal tentang mereka yang dipimpinnya.
Kita juga pernah dikhabarkan dengan kisah Umar Al-Khattab, seorang pemimpin tertinggi yang sanggup keluar pada waktu malam untuk melihat keadaan rakyatnya. Beliau menunjukkan tanggungjawab sehingga beliau sendiri yang memikul guni gandum dan memasaknya di rumah rakyatnya. Diriwayatkan bahawa Saidina Umar juga pernah berkata, “Aku takut di akhirat nanti, aku ditanya tentang seekor keldai, kerana aku tidak menutup satu lubang menyebabkan ia terjatuh ke dalam lubang berkenaan.” Justeru, negara akan lebih makmur dan aman jika kita mempunyai ramai pemimpin yang jujur, amanah, berkarisma dan berjiwa rakyat.
Oleh itu, marilah sama-sama kita memikul tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk menjalankan tugas kita sebagai warga dalam memilih pemimpin yang akan menerajui kepimpinan dalam negeri dan negara kita. Mudah-mudahan negeri dan negara kita sentiasa mendapat rahmat, keberkatan dan dipelihara oleh Allah SWT sepanjang masa.
[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 9 Mac 2018]