CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Staf Canselori Bermukim di Janda Baik

 

BENTONG, 9 Mac – Seramai 100 orang staf Canselori UMT bermukim selama 3 hari 2 malam bermula 7 Mac 2018 di Janda Baik bagi meningkatkan hubungan kerjasama dalam pasukan dan memupuk budaya kerja yang cemerlang.

Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr Nor Aieni Mokhtar, program pembinaan pasukan Canselori ini dapat mengukuhkan hubungan kerjasama dan silaturahim antara staf di Canselori. Ia juga dapat mengurangkan jurang dalam kepimpinan serta mewujudkan suasana yang kondusif untuk menyumbang kepada kecemerlangan universiti. Selain itu, program ini juga dirangka untuk membentuk satu pasukan yang mempunyai matlamat yang jelas dan nilai kebersamaan yang tinggi.

“Kita perlu mempunyai sikap saling mempercayai serta menghormati dalam satu pasukan yang mantap. Kita juga perlu mempunyai jaringan komunikasi yang kukuh serta selamat dan tiada kebocoran maklumat. Kecemerlangan universiti amat bergantung kepada pasukan yang berdedikasi dan mempunyai matlamat yang jelas serta ahli pasukan yang mahir memainkan peranan masing-masing,” katanya semasa merasmikan Program Pembinaan Pasukan Canselori UMT (Siri 2018) di Teratak Malaya, Janda Baik, Bentong, Pahang.

Turut hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghafar, Timbalan Naib Canselor (HEPA), Prof. Madya Dr. Che Mohd Ruzaidi Ghazali dan Penasihat Undang-undang, Dr. Fahira Syaliza Mokhtar.

Sementara itu, menurut Rosnah Ahmad yang merupakan staf di Pejabat Naib Canselor, program ini amat bagus bagi memupuk semangat kerjasama yang kukuh dan berpanjangan di antara staf Canselori. Malah ia dapat melahirkan staf Canselori yang mempunyai budaya kerja cemerlang dalam kerjaya dan organisasi.

Menurut Aminodin Abd. Wahab pula yang bertugas di Bahagian Keselamatan, beliau amat teruja untuk mengikuti program ini kerana dapat meningkatkan keseimbangan jati diri, mental, kerohanian dan kecergasan fizikal, kreatif, inovatif, serba boleh (multi-tasking) dan mengharmonikan diri dengan alam murni ciptaan Allah SWT.

Antara pengisian program pembinaan pasukan Canselori siri 2018 ialah water confident, jungle cooking, night walk, management games, dan padi field soccer.