KUALA NERUS, 16 Dis. – Bersempena sambutan Maulidurasul 1439H, Pusat Islam Sultan Mahmud UMT menganjurkan Karnival Masjid di Hatiku 2.0 yang bertemakan gaya hidup sihat rohani dan jasmani. Karnival yang diadakan pada 14-15 Disember 2017 disambut dengan begitu meriah. Pelbagai aktiviti yang menarik telah diadakan seperti Kuliah Zohor Perdana, Klinik Al-Fatihah, Iftar Perdana, pertandingan mewarna dan menulis jawi, Muslim Chef dan sebagainya.
“Solat lima waktu adalah tiang agama dan ia adalah amalan pertama yang dihitung di hari pembalasan. Akhir-akhir ini ramai yang mengambil remeh tentang kefarduan solat. Ramai yang menunaikan solat tetapi tidak memahami fungsi, keseronokan dan fadhilat solat di dalam kehidupan seharian. Malah ada yang gagal mendapat apa-apa manfaat melainkan penat dan lelah sahaja. Tidak kurang juga yang belajar hanya menggunakan buku tanpa berguru, sedangkan ilmu yang dipelajari seharusnya dengan berguru, kerana pemahaman seseorang adalah berbeza dengan yang lain terutama di dalam hal ehwal agama,” ujar Ustaz Wan Junaidi dalam Kuliah Zohor Perdana di Masjid UMT yang mengupas tajuk “Sempurnakah Solatku?”
Selain itu, karnival ini juga dimeriahkan dengan program Bicara Inspirasi yang disampaikan oleh Brother Lah Ahmad dan pengacara tv terkenal iaitu Amin Idris.