CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Revolusi Industri 4.0 dan Kelestarian Kewangan Antara Hala Tuju Baharu UMT

Kuantan, 21 Sept – Universiti merupakan organisasi yang dinamik dan ejen perubahan dalam sesebuah masyarakat. Perancangan sebuah universiti amat penting bagi memastikan program pengajian dan penyelidikan sentiasa relevan dengan keperluan industri dan negara.

Menyedari akan kepentingan merencanakan hala tuju yang jelas, Pusat Transformasi, Perancangan Strategik dan Risiko UMT mengadakan Bengkel Penyediaan Pelan Strategik UMT (2018-2022) selama 3 hari di The Zenith Hotel Kuantan, Pahang. Bengkel ini dihadiri oleh Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar dan semua pegawai kanan UMT.

“UMT telah berkembang dengan baik bagi tempoh 15 tahun yang lalu. Imej UMT telah terserlah di peringkat kebangsaan dan global. Namun, cabaran Revolusi Industri 4.0 dan kelestarian kewangan yang sedang hangat dibincangkan merupakan antara agenda perubahan yang perlu diharungi oleh UMT pada masa kini. Oleh itu, UMT perlu bergerak maju ke hadapan mendahului zaman dengan menyediakan pelan strategik yang lebih mantap,” kata Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni dalam ucapan pembukaan bengkel itu.

Selain itu, antara cabaran lain yang turut diperhatikan ialah penambahbaikan program pengajian, pemindahan ilmu, penjanaan pendapatan dan pengantarabangsaan. Semua pihak perlu bekerjasama dalam satu pasukan dan memantapkan hubungan komunikasi agar setiap perancangan pelan strategik yang bakal disediakan nanti dapat dilaksanakan dengan jayanya.