CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Cabaran Revolusi Industri 4.0

Kuala Nerus, 7 Ogos – Revolusi Industri 4.0 adalah industri yang lebih mementingkan robot automasi dan analisis data besar dalam pelaksanaan tugas, malah banyak negara sedang mengadaptasinya. UMT perlu bersedia untuk menempuh cabaran Revolusi Industri 4.0 dengan menyediakan sistem pengajian dan pembelajaran yang tidak hanya tertumpu dalam bilik kuliah sahaja tetapi perlu dikembangkan menggunakan kaedah pembelajaran secara atas talian atau alam maya.

Dalam Revolusi Industri 4.0, ekosistem pendidikan tinggi di universiti perlu dibangunkan dan diubah selari dengan ledakan Internet of Things (IoT) dalam semua aspek kehidupan harian. Pelajar boleh bertindak sebagai pelanggan yang mampu memilih dan mengatur program akademik, kaedah pembelajaran, subjek yang diambil dan pensyarah. Namun, faktor nilai dan kemanusiaan tidak harus dilupakan dan ia perlu diadaptasi mengikut kesesuaian masa dan keadaan.

“Setiap universiti perlu membangunkan Kursus Dalam Talian Terbuka Secara Besar-besaran (MOOC) untuk kebanyakan subjek. Kaedah ini membolehkan subjek diajar bukan sahaja untuk pelajar di universiti terbabit, bahkan boleh dikongsi dengan universiti lain di Malaysia, mahupun di luar negara”, menurut Datuk Nik Ali Mat Yunus, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah UMT dalam Program Bual Bicara Bersama Lembaga Pengarah UMT di Auditorium Mahyuddin UMT pada hari ini. 

Turut hadir dalam program ini Dato’ Mohamad Azlan Hashim, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT dan Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor UMT.