CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Majlis Penyerahan Tugas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa)

KUALA NERUS, 26 Julai – Bermula pada 30 Julai 2017, Prof. Dr. Mohd Lokman Husain, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT akan bersara wajib daripada perkhidmatan awam setelah berkhidmat hampir 35 tahun sejak tahun 1982. Beliau telah diraikan dalam Majlis Penyerahan Tugas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT di Bilik Jamuan, Dewan Senat UMT yang turut dihadiri oleh Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar dan pegawai-pegawai UMT.

Dalam majlis yang ringkas ini, Prof. Dr. Mohd Lokman Husain menyerahkan dokumen serahan tugas kepada Prof. Dr. Fauziah Abu Hasan yang akan menjalankan tugas sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) mulai 31 Julai 2017 sehingga kekosongan diisi secara hakiki. Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni menyifatkan Prof. Dr. Mohd Lokman sebagai seorang Timbalan Naib Canselor yang cemerlang dalam mengurus hal ehwal akademik dan antarabangsa dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip.

Prof. Dr. Mohd Lokman dalam ucapannya pula merakamkan ucapan terima kasih kepada Naib Canselor dan semua staf UMT terutamanya Dekan-dekan, Jabatan Pengurusan Akademik, dan Pusat Perancangan, Pembangunan dan Kualiti Akademik (PPPKA) kerana telah memberikan sokongan yang padu semasa beliau melaksanakan tugas. Banyak pengalaman yang beliau perolehi semasa berkhidmat dan berharap UMT akan terus berkembang maju dan cemerlang. Beliau juga berharap pemerkasaan pengurusan akademik akan diteruskan dari masa ke semasa melalui kepimpinan yang mantap.

Prof. Dr. Fauziah pula dalam ucapan balasnya turut merakamkan ucapan terima kasih atas kepercayaan bagi menjalankan tugas sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan berharap semua staf UMT akan memberikan kerjasama dan bekerja dalam satu pasukan bagi meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar UMT. Beliau turut memaklumkan bahawa pengurusan akademik universiti semakin mencabar dengan munculnya revolusi University 4.0. Semua pihak perlu bersedia dengan cabaran ini kerana ia amat relevan dengan perkembangan semasa.