Kuala Nerus, 23 Mei – Dasar rasionalisasi subsidi merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia Ke-10. Pelaksanaan program ini dibuat setelah Kerajaan mendapati pemberian subsidi tidak efektif dan tidak berkesan dalam membantu rakyat Malaysia terutamanya kepada golongan yang kurang berkemampuan dan kurang bernasib baik. Rasionalisasi subsidi juga dilaksanakan bagi membolehkan Kerajaan mengurangkan defisit dan mencapai sasaran pembangunan negara serta membantu rakyat.
“Sejak dari tahun 1998 hingga sekarang, bajet Kerajaan adalah defisit. Pelaksanaan program rasionalisasi subsidi dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dapat membantu Kerajaan membelanjakan sumber kewangan untuk pembangunan negara yang lebih mapan. Kerajaan menyedari kesempitan hidup yang dialami oleh golongan bawah (B40) sebab itu Kerajaan memberikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM) malah bantuan ini terus diagihkan kepada kumpulan sasaran. Begitu juga dengan golongan pertengahan (M40), Kerajaan membantu golongan ini melalui beberapa pelepasan cukai pendapatan seperti Pelepasan Cukai Gaya Hidup, Pelepasan Cukai Perubatan Ibubapa dan sebagainya,” ujar Dato’ Lokman Noor Adam, Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).